Fadhlina Sidek

PUTRAJAYA – Kementerian Pendidikan (KPM) memperkenalkan empat langkah bagi menangani isu keciciran pelajaran menerusi intervensi kurikulum murid Tahun Satu.

Empat langkah itu adalah dokumen penjajaran kurikulum standard sekolah rendah (KSSR) (Semakan 2017) Edisi 3, pengesanan awal literasi dan numerasi, pelaporan pentaksiran bilik darjah (PBD) yang mesra ibu bapa dan penataran dokumen penjajaran KSSR (Semakan 2017) Edisi 3.

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, langkah itu diambil susulan maklum balas daripada pelbagai pihak berkepentingan termasuk ibu bapa dan ia merupakan salah satu sumber maklumat penting dalam pembangunan kurikulum.

Pada masa sama, katanya, KPM mengambil pendekatan untuk melihat ke hadapan, terutamanya dalam rangka persediaan pelaksanaan Kurikulum Persekolahan 2027 yang memberi tumpuan kepada penguasaan literasi, numerasi dan pembentukan karakter.

“KPM amat menghargai keprihatinan dan pandangan ibu bapa serta masyarakat terhadap kurikulum persekolahan sedia ada.

“KPM juga memandang serius terhadap kegusaran yang diutarakan seperti aras kurikulum yang tinggi, kandungan kurikulum kurang sesuai dengan usia murid, pelaporan Pentaksiran Bilik Darjah (PBD) sukar difahami dan ibu bapa tiada akses untuk mendapatkan pelaporan PBD,” katanya pada sidang khas di kementeriannya di sini hari ini.

Mengulas mengenai empat langkah itu, Fadhlina berkata, KPM telah menyediakan Dokumen Penjajaran KSSR (Semakan 2017) Edisi 3 bagi mata pelajaran Sains dan Matematik Tahap I yang akan digunakan mulai Sesi Akademik 2024/2025.

Penjajaran kurikulum, katanya, melibatkan pengemaskinian dan penyusunan semula kandungan mata pelajaran Sains dan Matematik Tahap I sedia ada.

“Dokumen Penjajaran KSSR (Semakan 2017) Edisi 3 ini disediakan sebagai pilihan kepada guru dalam pelaksanaan kurikulum sekolah rendah dan boleh digunakan bersama-sama Modul Bimbingan Sains dan Matematik Tahap I.

“Dokumen penjajaran bagi mata pelajaran Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris akan menyusul,” katanya lagi.

Bagi langkah kedua iaitu pengesanan literasi dan numerasi murid Tahun 1, ia bertujuan untuk mengenal pasti murid yang belum menguasai kemahiran membaca, menulis dan mengira serta memerlukan intervensi awal yang bersesuaian dengan kebolehan, keupayaan dan gaya pembelajaran mereka.

“Pengesanan awal melalui Pentaksiran Bilik Darjah dilaksanakan setelah murid mengikuti persekolahan selama tiga bulan,” ujarnya.

Langkah ketiga, Pelaporan Pentaksiran Bilik Darjah (PBD) yang Mesra Ibu Bapa Laporan tahap penguasaan PBD dipermudahkan manakala, pelaporan tahap penguasaan Ujian Akhir Sesi Akademik bagi semua mata pelajaran akan ditukar dalam bentuk peratus dan gred.

“Pelaporan PBD boleh diakses oleh ibu bapa secara dalam talian melalui Sistem Pengurusan Pentaksiran Bersepadu,” tambahnya.

Untuk yang terakhir iaitu penataran dokumen penjajaran KSSR (Semakan 2017) Edisi 3, Fadhlina berkata, dokumen itu akan disebarluaskan kepada semua guru mata pelajaran Sains dan Matematik sekolah rendah melalui penganjuran bengkel dan latihan.

“Agenda reformasi pendidikan KPM memastikan tambah baik yang berterusan untuk meningkatkan kualiti demi manfaat semua murid,” jelasnya. – MalaysiaGazette