Oh Tong Keong.

GEORGE TOWN – Gerakan menggesa kerajaan menangani masalah monopoli serta kartel membabitkan padi dan beras dalam negara bagi mengelakkan rakyat terus terbeban dengan kenaikan harga beras sekarang.

Timbalan Presiden Gerakan, Oh Tong Keong berkata, Kerajaan Perpaduan berdepan risiko hilang kepercayaan rakyat sekiranya gagal menangani isu tersebut.

“Kerajaan Perpaduan perlu berani memecahkan monopoli beras putih bagi memulihkan bekalannya sekali gus memastikan ia dijual dengan harga berpatutan kerana beras putih merupakan makanan ruji rakyat Malaysia.

“Tambahan pula, kos sara hidup rakyat semakin meningkat selepas Kerajaan Perpaduan mentadbir negara ia termasuk bil elektrik, tarif air, tambang pengangkutan awam, kadar cukai perkhidmatan logistik dan banyak lagi.

“Jadi kita gesa kerajaan untuk tangani isu beras agar masalah membabitkan makanan asas tidak terus membebankan rakyat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambah Tong Keong, isu beras juga secara tidak langsung menunjukkan Kerajaan Perpaduan tidak mampu dan tidak cekap dalam mentadbir negara.

Terdahulu, Pengerusi Task Force (Kluster Makanan) Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (Naccol), Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal berkata, terdapat kartel beras putih tempatan membabitkan empat hingga lima syarikat di negara ini yang dipercayai bertindak mengawal jual beli padi dan makanan ruji itu sehingga berlaku kekurangan bekalan di pasaran serta peningkatan harga.

Katanya, maklumat itu diperoleh hasil daripada libat urus yang dijalankan bersama pesawah, pengilang, pemborong, peruncit dan pengguna. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast