Razlam Ab Hamid

GEORGE TOWN – Wanita warga emas yang melontarkan kata-kata berbaur provokasi di Masjid Jamek Ar-Rahman, Batu Feringghi di sini telah ditahan polis.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Razlam Ab Hamid berkata, wanita berkenaan ditahan selepas dia diserahkan sendiri oleh keluarganya di balai berhampiran.

“Kita telah membawa wanita itu ke mahkamah bagi mendapatkan perintah reman dan mahkamah membenarkan suspek direman selama empat hari bermula hari ini bagi membantu siasatan.

“Dia akan dirujuk ke hospital untuk mendapatkan rawatan psikiatri kerana didapati mempunyai gejala penyakit mental,” katanya ketika dihubungi hari ini.

ARTIKEL BERKAITAN:

Polis terima laporan isu wanita dakwa suara bilal ganggu kejiranan

MalaysiaGazette terdahulu melaporkan, polis menerima laporan berhubung kejadian pada 15 Mac di Balai Polis Batu Feringghi dan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 298A Kanun Keseksaan.

Difahamkan, wanita beragama Islam itu sebelum ini menetap di London dan pulang ke tanah air selepas mempunyai masalah kesihatan mental.

Mengulas mengenai kejadian, Pengerusi Kariah masjid berkenaan, Ismail Din berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 10 malam pada 12 Mac lalu dan wanita berkenaan memasuki masjid dengan berpakaian tidak menutup aurat.

Jelasnya, pada mulanya, wanita itu bertanya kepada seorang jemaah mengenai suara bacaan bilal serta imam terlalu kuat sehingga mengganggu kejiranan.

“Bagaimanapun, wanita itu kemudian melontarkan soalan berbaur provokasi iaitu ‘siapakah bilal dan imam yang sedang menyalak seperti anjing, membaca selawat dan bacaan Al-Quran itu? Bacaannya seperti syaitan bersuara sumbang, menyalak seperti anjing gila’,” dakwanya. – MalaysiaGazette