KUALA LUMPUR – Berpegang prinsip, dalam rezeki kita ada rezeki orang lain mendorong GNI Pharma Sdn. Bhd. membawa golongan asnaf berbuka puasa di sebuah hotel mewah semalam.
Malah syarikat makanan tambahan itu sanggup berbelanja hampir ratusan ribu kerana harga bufet Ramadan di situ yang mencecah harga hampir RM300 seorang.
Ia melibatkan kehadiran hampir 300 golongan asnaf dengan jumlah keseluruhan lebih 400 jemputan termasuk pendakwah terkenal dan selebriti tanah air.
Ketua Pegawai Eksekutif, Syed Gaddafi Syed Saifuddin berkata, pihaknya ingin memberi satu momen yang tidak dilupakan oleh golongan asnaf untuk menjamu selera di hotel yang terletak di kawasan segi tiga emas di ibu kota.
“Kami mahu golongan asnaf berkongsi momen tidak dapat dilupakan dapat berbuka puasa di hotel dan rasa dihargai serta tidak rasa terasing.
“Idea bawa golongan asnaf kerana mereka tidak pernah dapat peluang untuk makan di hotel mewah apatah lagi dapat berjumpa lebih dekat bersama selebriti untuk mendapat pengalaman manis,” katanya kepada MalaysiaGazette.
GNI Pharma Sdn Bhd telah menganjurkan program Grand Iftar bagi meraikan golongan asnaf di sekitar Lembah Klang dengan kehadiran beberapa selebriti tanah air seperti pelakon Rozita Che Wan, Ayu Raudhah dan suami yang juga bekas kapten Harimau Malaysia, Zaquan Adha Razak dan pelawak Achey Bocey.
Tidak ketinggalan para asatizah terkenal negara antaranya Ustazah Asma’ Harun.
Mengulas lanjut, Syed Gaddafi memberitahu, syarikat tidak hanya menyantuni golongan hanya bermusim pada bulan Ramadan sahaja.
Sebaliknya, jelas beliau, mereka telah menjalinkan kerjasama dengan beberapa madrasah di seluruh tanah air dan konsisten memberi sumbangan setiap bulan beri sumbangan.
“Sampai hari kami masih menanggung kos operasi beberapa madrasah cuma program begini akan dibuat pada bulan Ramadan dan yang lepas kami bawa anak-anak yatim dan tahfiz membeli baju raya di pusat beli-belah.
“Insya-Allah kami akan terus konsisten membantu setiap bulan kerana kami percaya apabila kami meniaga dan apa yang kami dapat, sebahagiannnya bukan milik kita dan kena beri balik golongan memerlukan dan kami pegang prinsip itu,” katanya. – MalaysiaGazette