KUALA LUMPUR – Penjualan stoking dengan kalimah Allah di KK Mart disifatkan sebagai satu tragedi yang amat mengguris perasaan umat Islam di Malaysia.

Lantaran itu, pihak berkuasa didesak segara melaksanakan proses undang-undang dan pendakwaan dengan telus tanpa prejudis agar membawa mereka yang menghina Islam dibawa ke muka pengadilan.

Presiden Pertubuhan Kebajikan dan Dakwah Islamiah Malaysia (Perkida), Datuk Mohd Foad Mat Isa berkata, kejadian seumpama ini seringkali berulang, seolah-olah tiada noktahnya.

“Permohonan maaf kini dilihat sebagai satu ‘trend’ kepada mereka yang melakukan kesalahan dan jenayah bagi mencuci kesalahan dan tiket meredakan keadaan.

“Kita tidak mahu lagi perkara-perkara seperti ini terus berulang sehingga menyebabkan kemarahan umat Islam tidak dapat dibendung dan akhirnya berkemungkinan mereka bertindak balasdan melakukan perkara-perkara tidak diingini.

“Jangan sampai umat Islam hilang sabar dan hilang pertimbangan lantaran provokasi dan tindakan biadap sesetengah pihak yang tidak bertanggungjawab ini,” katanya dalam kenyataan di sini.

Oleh itu, ujarnya, mereka yang bersalah ini wajar disiasat, diheret ke muka pengadilan dan dihukum dengan hukuman yang setimpal supaya menjadi pengajaran kepada yang lain.

Jelasnya, agenda jahat yang membawa kepada barah perkauman dan anti-Islam menular di Malaysia ini harus dihentikan segara demi keharmonian dan kesejahteraan negara. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast