PUTRAJAYA – Seramai 16,824 pendatang asing tanpa izin (PATI) telah mendaftar program repatriasi sehingga semalam.
Ketua Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Datuk Ruslin Jusoh berkata, daripada jumlah itu seramai 11,943 orang telah dihantar pulang ke negara asal selepas menjalani proses dokumentasi dan pembayaran kompaun oleh kedutaan masing-masing.
“Indonesia merekodkan jumlah PATI tertinggi yang mendaftarkan diri dengan program repatriasi iaitu seramai 7,782 orang diikuti Bangladesh (2,530 orang), India (2,454 orang) dan Pakistan (1,617 orang),” kata beliau pada sidang media, di sini, hari ini.
Menurut Ruslin, program tersebut memberi peluang kepada PATI untuk pulang ke negara asal dan ia seharunya dimanfaatkan oleh mereka dengan endaftaran dibuka sehingga 31 Disember ini.
“Tiada tangkapan, pendakwaan dan pemenjaraan menggunakan undang-undang Imigresen, hanya perlu tampil daftarkan diri dan membayar kompaun RM300 hingga RM500 mengikut jenis kesalahan,” ujarnya. -MalaysiaGazette