Sharudin Hamid menunjukkan cara menggunakan mesin kompos sisa makanan yang mampu menhasilkan baja yang ditempatkan di sudut Padang MPK 1

KUANTAN –  Baru sahaja berpuasa 10 hari, Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) Pahang telah berjaya mengumpul 286 kilogram (kg) sisa makanan terbuang dan dikompos menjadi baja.

Pengarah SWCORP Pahang, Sharudin Hamid berkata, jumlah tersebut menunjukkan peningkatan berbanding Ramadan tahun lalu di mana mampu mengumpulkan 200kg sisa dalam tempoh 30 hari berpuasa.

Menurutnya, sebanyak 180.5 kg baja terhasil daripada sisa makanan itu datangnya dari peniaga Bazar Ramadan Mahkota Square dan orang ramai yang berbuka di Padang Majlis Bandaraya Kuantan (MBK)1.

Sharudin Hamid

“Setakat 10 hari puasa, sebanyak 286 kg sisa makanan terkumpul di mana pencapaian yang agak menarik sebab tahun lalu dalam tempoh sebulan kita berjaya kumpul 200kg.

“Kita jangkakan hasil baja ini akan terus meningkat sekali gus dapat diagihkan kepada kebun komuniti  di sekitar daerah Kuantan,” katanya hari ini.

Tambah Sharudin, orang ramai dan pengguna juga diajar untuk memasukkan sisa makanan ke dalam mesin kompos dengan pemantauan petugas SWCORP.

Menurutnya, hasil baja kompos dari sisa makanan itu, SWCORP akan melaksanakan tiga program menerusi Program Kompos@Bazar, program Infaq Ramadhan dan program My Save Food.

Dalam pada itu, trend pembuangan sisa makanan di pusat pelupusan sampah menurun sebanyak dua peratus di Pahang berdasarkan statistik terkini.

Sebelum ini, katanya, purata pembuangan sisa mencatatkan 1,300 tan dan telah menunjukkan penurunan dua peratus bersamaan 1,249 tan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast