PEKAN – Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) merupakan satu-satunya universiti awam di Malaysia yang menerima pentauliahan Persijilan Antarabangsa Institut of the Motor Industry (IMI) United Kingdom sebagai salah sebuah pusat latihan kenderaan hibrid dan elektrik.
Naib Canselor UMPSA, Prof Datuk Ts Dr Yuserrie Zainuddin berkata, majlis serahan sijil pengiktirafan UMPSA sebagai IMI International Training Centre for EV Training telah disampaikan IMI External Quality Assurer daripada IMI UK, Stephen Longworth di UMPSA Pekan semalam.
Menurut Yuserrie, kunjungan IMI sekali gus melengkapkan modul IMI International full Centre Approval and IMI International Accredited Assessor or Verifier Workshop di UMPSA Pekan.
“IMI merupakan salah satu institusi automotif yang diberi hak untuk mengeluarkan sijil profesional dan kompetensi dalam kenderaan berkuasa tinggi melebihi 60V DC.
“Pelatih yang mendapat sijil profesional daripada IMI juga layak untuk bekerja di luar negara yang mengiktiraf sijil daripada IMI,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Ujar beliau, pencapaian ini membolehkan lebih ramai pelatih teknikal berkemahiran dan diiktiraf dunia dilahirkan khususnya dalam bidang penyenggaraan kenderaan elektrik keluaran pengeluar dari seluruh dunia.
Bagi Yuserrie, usaha ke arah untuk mendapat persijilan pusat latihan telah bermula dua tahun lalu dengan membangunkan makmal EV melakukan tanda aras dan memberi latihan kepada tenaga pengajar.
“Dengan mendapatkan pertaulihan ini UMPSA akan menyediakan latihan bagi mendapatkan sijil Profesional bagi penyelengaraan EV yang diiktiraf IMI kepada para pelajar UMPSA.
“Pentauliahan ini turut dimanfaatkan dengan memberi latihan kepada pihak industri dan komuniti,” tambahnya.
Menurutnya, UMPSA menghargai sokongan pihak Kementerian Pendidikan Tinggi dan komitmen semua dalam memastikan kejayaan dalam pengiktirafan tersebut. – MalaysiaGazette