Gerakan Pas
Oh Tong Keong

GEORGE TOWN – Parti Gerakan menggesa Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim serta Pakatan Harapan (PH) memohon maaf kepada seluruh rakyat Malaysia susulan gagal menunaikan janji pemansuhan tol seperti dimaklumkan dalam manifesto mereka pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Timbalan Presiden Parti Gerakan, Oh Tong Keong berkata, ia susulan pengakuan Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Ahmad Maslan bahawa janji untuk menghapuskan tol sekadar cadangan dan sukar dilaksanakan.

Jelas beliau, pengakuan Ahmad jelas  membuktikan kerajaan PH menipu serta sekadar memberi janji manis kepada rakyat pada PRU-15 yang lalu.

“Pemansuhan tol lebuh raya adalah janji yang dibuat Perdana Menteri (Anwar) dan PH dalam manifesto PRU-15. Maka kini apa jua alasan yang diguna kerajaan untuk tidak menunaikan janji mereka adalah menipu rakyat.

“Mengapa mereka sanggup berbuat demikian untuk menipu undi rakyat? Adakah PH mempertimbangkan sama ada mereka mampu menunaikan janji mereka dengan memansuhkan tol sebelum membuat janji sedemikian?

“Sekiranya janji PH tidak dapat ditunaikan, maka Anwar dan PH harus memohon maaf kepada seluruh rakyat Malaysia dan tarik balik janji manis itu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, Tong Keong berkata, janji manis PH bukan hanya membabitkan pemansuhan tol lebuh raya malah termasuk isu menurunkan harga petrol, pengiktirafan UEC dan pemansuhan Akta Universiti.

“Pada tahun 2018, apabila PH buat pertama kali mengambil alih pentadbiran Putrajaya, Tun Mahathir yang merupakan Perdana Menteri ketika itu memaklumkan manifesto bukan kitab suci apabila ditanya pihak media berhubung dengan isu pemansuhan tol.

“Kini, buat kali kedua PH mentadbir kerajaan pusat dengan kerjasama Barisan Nasional adakah akan memberi janji kosong serta menipu rakyat lagi?

“Sehubungan itu, saya rasa pengundi harus melihat dan menilai dengan jelas taktik politik PH dan Kerajaan Perpaduan supaya tidak ditipu dengan janji manis yang tidak realistik,” tegasnya.

Media semalam melaporkan, cadangan untuk menghapuskan tol dilihat sukar untuk dilaksanakan kerana ia akan memberi implikasi besar terhadap kedudukan kewangan negara, kata Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Ahmad Maslan.

Beliau berkata, pelaksanaan cadangan pemansuhan tol di negara ini akan menyebabkan kerajaan membayar pampasan melebihi RM450 bilion kepada syarikat konsesi tol. – MalaysiaGazette