Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki bercakap pada sidang media selepas Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO di Menara Dato' Onn, Pusat Dagangan Dunia (WTC), Kuala Lumpur. Foto WAN NABIL NASIR, 22 MAC 2024.

KUALA LUMPUR – Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO sebulat suara menyokong penuh pendirian Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Dr Muhamad Akmal Saleh berhubung kontroversi stoking  tertera kalimah Allah selepas berdepan tekanan daripada parti komponen dalam kerajaan.

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Asyraf Wajdi Dusuki berkata, parti akan terus membawa suara orang Melayu dalam mempertahankan Islam di negara ini.

Menurut beliau, UMNO akan berpegang kepada syarat dalam membentuk Kerajaan Perpaduan yang sesekali tidak akan meremehkan kedudukan agama Islam sebagai agama Persekutuan.

“Pemuda mewakili UMNO dan itu pun dibincangkan dalam MKT dan seluruh ahli majlis MKT menyokong penuh pendirian berkenaan isu kalimah Allah yang dibincangkan dan MKT tadi sokong penuh pendirian Pemuda UMNO.

“Beberapa pemimpin Kabinet tegur UMNO namun tiada apa yang harus dijelaskan dan yang penting kenyataan UMNO terus pertahan kesucian Islam bahkan .

“Bahkan kita meletakkan syarat penting dua perjanjian dalam memulakan perundingan dalam membentuk Kerajaan Perpaduan, UMNO letakkan syarat jangan sesekali remehkan apa yang terkait dengan kedudukan Islam sebaga agama Persekutuan.

“Setakat hari ini pemimpin dalam Kerajaan Perpaduan hormat pendirian tersebut,” katanya pada selepas mesyuarakat MKT UMNO di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Asyraf Wajdi menegaskan, UMNO prihatin dengan beberapa isu sensitif yang menyentuh kesucian agama Islam, polemik perkauman dan mampu mencetuskan suasana ketidakharmonian dalam masyarakat majmuk negara ini.

Jelas beliau, isu-isu menggugat akidah Islam dalam Filem Mentega Terbang, cadangan pewartaan Kampung Baharu Cina sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO, Bak Kut Teh dan terkini isu kalimah Allah di stoking kaki adalah sebahagian daripada yang menjadi polemik memudaratkan.

Sehubungan itu, katanya, UMNO berpendirian tegas dan teguh dengan titah Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim yang menyeru agar semua lapisan masyarakat menjaga keharmonian negara dan tidak memainkan isu sensitif membabitkan Raja, Kaum dan Agama (3R).

“Malah UMNO turut mendokong penuh Titah Yang di-Pertua Agong yang mahu tindakan sekeras-kerasnya diambil terhadap mana-mana pihak yang didapati curang dan terlibat dalam sebarang usaha meremeh dan memperlekeh kalimah Allah.

“Sebagai parti yang menjadi benteng dan pemelihara kepada kedaulatan Islam dan kepentingan bangsa, UMNO tidak akan sesekali berkompromi dengan apa jua tindakan yang memperkotak-katikkan kesucian agama Islam.

“Demi memelihara keharmonian, kerukunan dan perpaduan rakyat berbilang kaum dan agama yang sudah lama terbina di negara tercinta ini, UMNO menyeru  semua agar isu-isu mutakhir ini dijadikan sebagai sempadan dan pengajaran penting supaya tidak berulang kembali,” katanya. – MalaysiaGazette