Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berucap pada Majlis Berbuka Puasa UMNO Malaysia 2024 di Menara Dato' Onn, Pusat Dagangan Dunia (WTC), Kuala Lumpur. Foto WAN NABIL NASIR, 22 MAC 2024.

KUALA LUMPUR – UMNO tidak akan menuntut kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Bharu dan ia dibuat atas semangat Kerajaan Perpaduan.

Presidennya, Ahmad Zahid Hamidi memberi bayangan pihaknya akan memberi laluan kepada parti komponen penyandang dalam kerajaan untuk meletakkan calon dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) tersebut.

Beliau yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) berkata, UMNO perlu menghormati kerusi tersebut walaupun pengundi Melayu di Kuala Kubu Baharu meningkat kira-kira 50 peratus.

“Kita mengetahui bahawa DUN di Selangor iaitu Kuala Kubu Baharu kosong disebabkan ADUN (Ahli Dewan Undangan Negeri) meninggal dunia.

“Kami merasakan bahawa walaupun jumlah pengundi Melayu di Kuala Kubu Baharu meningkat mencecah kira-kira 50 peratus demi menghormati Kerajaan Madani yang ada saya merasakan rakan dalam UMNO dan komponen BN harus menghormati kerusi itu kepunyaan rakan kita dalam Kerajaan Perpaduan.

“Siapa sahaja yang akan dicalonkan pengerusi Kerajaan Perpaduan jentera UMNO bukan sahaja dari Selangor tapi saya yakin jentera BN terutamanya MCA akan bersama dengan UMNO untuk turun membantu kempen calon berkenaan biar pun tarikh PRK belum ditentukan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap sempena Majlis Berbuka Puasa UMNO Malaysia di Pusat Dagangan Dunia di sini hari ini.

Ahmad Zahid menambah, UMNO dan BN akan terus beristiqomah dalam mendokong kestabilan politik dalam Kerajaan Perpaduan.

Semalam ADUN Kuala Kubu Bharu, Selangor, Lee Kee Hiong meninggal dunia dan pemergian wakil rakyat DAP itu dimaklumkan Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching menerusi Facebook.

Kee Hiong, 58, telah berkhidmat sebagai wakil rakyat di Kuala Kubu Baharu sejak tahun 2013.

Pada Pilihan Raya Negeri Ogos tahun lalu, Kee Hiong menewaskan calon Perikatan Nasional (PN) Teoh Kien Hong dengan majoriti 4,119 undi.

Beliau kali pertama mewakili kawasan itu pada 2013 apabila menewaskan Ooi Hui Wen dari MCA dengan majoriti 1,702 undi. – MalaysiaGazette