ALOR GAJAH – Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Alor Gajah sedang mengesan waris kanak-kanak perempuan berketurunan Kemboja yang ditinggalkan ibu kandung sejak dua tahun lalu.
Pegawai Pelindung Daerah Alor Gajah, Nor Atiqah Abdullah, berkata, kanak-kanak dikenali sebagai Nurul Madiha, 4, ditinggalkan ibu kandung sejak berusia dua tahun tanpa sebarang dokumen.
Menurutnya, kanak-kanak itu kini diletakkan di bawah jagaan orang yang layak dan sesuai secara sementara mengikut perintah di bawah Seksyen 19 Akta Kanak-Kanak 2001.
“Berdasarkan maklumat, kanak-kanak itu ditinggalkan seorang wanita warganegara Kemboja bernama Rin Sakin.
“Pencarian ibu kandung atau waris bagi membantu urusan penempatan dan penjagaan terbaik bagi kanak-kanak itu yang akan ditentukan oleh Mahkamah Bagi Kanak-Kanak,” katanya dalam satu kenyataan di sini, pada Sabtu.
Sehubungan itu, orang ramai yang mempunyai maklumat atau mengenali ibu kandung dan waris diminta menghubungi Pelindung JKM Alor Gajah di talian 06-5561267. – MalaysiaGazette