Senator Datuk Razali Idris.

KUALA LUMPUR – Exco Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Terengganu, Datuk Razali Idris menempelak kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung dakwaan bahawa Kerajaan Persekutuan tidak meminggirkan Terengganu.

Razali berkata, isu pemberian Kerajaan Persekutuan kepada negeri itu dan wang Royalti Petroleum adalah perkara yang berbeza.

“Ini sangat mengelirukan yang mendengar kerana isu besar adalah hutang tertunggak RM1.014 bilion lagi kepada Terengganu yang sepatutnya dibayar akhir Disember 2023 lalu,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Razali yang juga Ketua Penerangan Parti Pribum Bersatu Malaysia (Bersatu) merujuk kepada kenyataan Anwar bahawa pentadbirannya memberikan peruntukan yang lebih besar kepada negeri itu berbanding kerajaan sebelumnya.

Mengulas lanjut, Razali berkata: “Apa faedah bercakap depan Perhimpunan Warga Kementerian Kewangan perihal Royalti Petroleum Terengganu?,” soal beliau.

Bercakap pada mesyuarat bulanan Kementerian Kewangan di Putrajaya pada Khamis lalu, Anwar berkata, dana disalurkan terus kepada rakyat, tanpa mengambil kira pakatan politik mereka, bukannya kepada ahli Parlimen mana-mana kawasan.

Anwar berkata, peruntukan kepada Terengganu sebenarnya lebih tinggi di bawah Kerajaan Madani berbanding kerajaan terdahulu yang dibentuk gabungan Pas dan Bersatu.

Malah Anwar berkata dalam pemberian belanja pembangunan untuk negeri itu, sebanyak RM1.59 bilion disalurkan kepada Terengganu tahun ini berbanding RM1.55 bilion tahun lalu.

Katanya, royalti petroleum dibayar kepada Terengganu juga bertambah semasa pentadbirannya berbanding ketika Pas dan Bersatu berada dalam Kerajaan Persekutuan yang menyaksikan RM399 juta dibayar pada 2022.

Khamis lalu, Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar terkesima dengan penjelasan Anwar mengenai royalti dan peruntukan untuk Terengganu.

“Saya mendengar berulang kali penjelasan YAB PM mengenai hal berkait royalti dan peruntukan untuk Terengganu dan lain-lainnya.

“Saya terkesima. I was speechless and amazed,” kata Ahmad Samsuri menerusi kenyataan ringkasnya di Facebook. – MalaysiaGazette