Sekitar majlis Doa Selamat anjuran Badcave Training Facility.

KUALA LUMPUR – Ketibaan bulan Ramadan  perlu diraikan dengan memperbanyakkan ibadat dan amal jariah sebaiknya.

Menurut pengasas yang juga Ketua Pegawai Eksekutif gimnasium Badcave Training Facility, Murad Zaidi, ketika Ramadan rata-rata tidak perlu menghabiskan masa membina otot atau latihan kecergasan lain sebaliknya masa menambah amal.

“Tidak salah untuk lupa sebentar aktiviti kecergasan untuk sebulan ini. Anda mempunyai 11 bulan untuk bina otot. Biarlah satu bulan ini kita bina amal dan tingkatkan keimanan.

“Mungkin ada yang tidak sedar juga ibadat seperti solat termasuklah terawih itu adalah senaman. Bila anda sujud, ia melancarkan aliran darah dan tetap memberi manfaat dari sudut kesihatan.

“Begitu juga dengan aspek pemakanan, kaedah yang disarankan Islam terbukti memberi seribu manfaat, Islam itu indah. Kita disunatkan untuk berbuka puasa dgn buah kurma dan dari segi sains sendiri, kurma kaya dengan potasium yang membantu mengekalkan tahap hidrasi.

“Kerana itu juga saya sentiasa galakkan klien saya untuk makan makan dalam kuantiti yang sedikit tetapi dengan lebih kerap,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada MalaysiaGazette ketika majlis ‘Doa Selamat’ anjuran julung kalinya oleh Badcave Training Facility di Sesyen U1, Shah Alam baru-baru ini.

Murad turut memberi sumbangan duit raya kepada kanak-kanak tahfiz dan yatim.

Menyentuh tentang majlis itu, seramai 55 pelajar Maahad Tahfiz al-Quran Al-Munawwarah Sungai Buloh dan anak-anak yatim turut diraikan dalam majlis doa selamat serta berbuka puasa itu.

Kata Murad, beliau tertarik untuk memanggil anak-anak tahfiz dan juga anak-anak yatim bukan sahaja kerana bulan mulia untuk beramal ibadah sebaliknya juga memberi pendedahan kepada mereka tentang gaya hidup sihat.

“Ini juga bukan sesuatu yang baharu buat kami kerana setiap hari Ahad kita memang ada program CSR. Kita buat program percuma untuk anak-anak yatim, anak-anak tahfiz dengan bimbang, ajar mereka cara bersenam, makan dengan lebih berkualiti dan sihat serta aktiviti lain.

“Tapi hari ini lain sedikit, kita bukan sahaja menunaikan sembahyang Magrib, Isyak kemudian Terawih bersama-sama tetapi juga berbuka puasa dengan menu seperti Nasi Arab dan kambing golek, sesuatu yang jarang mereka dapat.

“Selain itu kita bawa mereka terus ke gimnasium supaya mereka dapat lihat sendiri serta kenali selok belok kemudahan gimnasium,” ujarnya.

Untuk makluman, Badcave sudah ditubuhkan sejak 2009 yang menawarkan pelbagai latihan amatur berkait kecergasan dan juga profesional. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast