Gambar hiasan

GEORGE TOWN – Gaya hidup yang tidak mampan menjadi punca menyebabkan kebanyakan golongan belia di negara ini berada di ambang muflis.

Presiden Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP), Mohideen Abdul Kader berkata, Pusat Kajian Tinjauan UCSI pada tahun lalu mendedahkan sebanyak 73 peratus belia Malaysia berhutang serta tidak mempunyai dana mencukupi bagi memenuhi komitmen kewangan mereka.

Oleh itu, katanya, golongan belia perlu belajar mengawasi perbelanjaan dengan teliti dan tidak boleh melakukan pembelian terburu-buru, terutama menggunakan kemudahan kad kredit atau kemudahan hutang seperti ‘beli dahulu, bayar kemudian’.

Mohideen Abdul Kader

“Ramai individu yang tidak melangsaikan perbelanjaan kad kredit atau mana-mana kemudahan kredit sehingga akhir bulan dan keadaan menjadi sukar untuk diselesaikan apabila mereka menerima bil terakru hutang.

“Situasi itu akan menyebabkan nama mereka (penghutang) disenaraihitamkan agensi pelaporan kredit seperti CTOS Data Systems Sdn Bhd (CTOS) atau Sistem Maklumat Rujukan Kredit Pusat (CCRIS), sekali gus menyukarkan mereka mendapatkan pinjaman bank pada masa hadapan,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Mengulas lanjut Mohideen berkata, Fad atau trend, kegilaan, ikutan atau bersifat sementara ini memacu perbelanjaan besar dengan memesongkan belanjawan seseorang dan pertimbangan yang lebih baik.

Katanya, orang ramai cenderung bagi mengikut cara berkelakuan orang lain, terutama dalam situasi tidak jelas termasuk melihat orang lain mengguna pakai produk atau trend dan mereka cenderung bagi untuk mengikutinya.

“Ramai golongan belia tergila-gila dengan trend yang dicetuskan oleh sektor perniagaan hasil gabungan psikologi, sosial dan ekonomi  yang mana akhirnya menjerat pembeli muda dengan masalah kewangan.

“Kesan ‘bola salji’ ini apabila lebih ramai orang menyertai, seterusnya mengesahkan arah trend itu, biarpun ketersediaan terhad atau persepsi kekurangan boleh mendorong peningkatan keinginan bagi membeli produk.

“Contohnya semasa pelancaran produk baharu yang mendorong orang ramai berkhemah di luar kedai bagi memastikan mereka tidak terlepas ‘peluang seumur hidup’ untuk membeli sesuatu,” katanya.

Sehubungan itu, CAP menggesa golongan belia yang berhutang supaya mendapat bantuan daripada Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) supaya mereka sedar mengenai perangkap hutang serta mula melihat belanjawan bulanan, menjelaskan hutang dan mengurangkan perbelanjaan.

“Kementerian Pendidikan juga perlu memperkenalkan dan memasukkan kursus pengurusan kewangan di sekolah menengah atas,” katanya. – MalaysiaGazette