Pengasas KK Mart Sdn Bhd, Datuk Seri Dr Chai Kee Kan, 57 mengaku tidak bersalah atas pertuduhan menyinggung perasaan umat Islam berikutan penjualan stoking yang mempunyai kalimah Allah di Mahkamah Shah Alam, Selangor. Foto SYADILA AMARI, 26 MAC 2024.

SHAH ALAM – Pengasas dan Pengerusi Eksekutif Kumpulan KK Supermart & Superstore Sdn Bhd, Datuk Seri Dr Chai Kee Kan dan isterinya, Datin Seri Loh Siew Mui antara lima individu didakwa berhubung penjualan stoking tertera kalimah Allah di kedai serbaneka berkenaan di sini hari ini.

Bagaimanapun kedua-dua mereka membuat pengakuan tidak bersalah di Mahkamah Sesyen selepas pertuduhan dibacakan di depan Hakim Muhamad Anas Mahadzir.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 298 Kanun Keseksaan yang memperuntuk hukuman penjara maksimum setahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Turut didakwa di mahkamah sama adalah pemilik syarikat Xin Jian Chang Sdn Bhd, Soh Chin Huat di mana syarikat itu menjadi pembekal stoking berkenaan serta dua lagi dari syarikat itu, Goh Li Huay dan Soh Hui San yang turut tidak mengaku bersalah.

Kelima mereka dibebaskan dengan jaminan RM10,000 seorang.

Selain individu terbabit, pihak pendakwaan turut mendakwa KK Mart dan Xin Jiang Chang sebagai entiti dalam kes itu.

Pendakwaan dikendalikan timbalan pendakwa raya yang terdiri daripada Masri Mohd Daud, Khairul Azreem Mamat, Ku Hayati Ku Haron, Noor Haslinda Che Seman dan Nadia Mohd Azhar.

Pada 13 Mac lalu, tular di media sosial isu stoking tertera kalimah tertera Allah dijual di KK Mart Bandar Sunway selepas gambar produk itu dimuat naik pengguna.

Tiga hari selepas itu, pengurusan KK Super Mart memohon maaf berhubung penjualan stoking berjenama Miranosock yang tertera kalimah Allah di beberapa cawangan kedai serbaneka itu.

Syarikat itu berkata, jualan stoking berkenaan dihentikan serta-merta sementara menunggu penjelasan daripada pembekal.

Puluhan laporan polis dibuat terhadap KK Mart manakala Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Dr Akmal Saleh menyeru masyarakat memboikot rangkaian kedai serbaneka itu.

Kilang Xin Jian Chang di Batu Pahat, Johor pula ditutup sementara.

Susulan isu itu, Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim murka serta menzahirkan perasaan dukacita. Seri Paduka Baginda bertitah mahu tindakan sekeras-kerasnya diambil terhadap mana-mana pihak yang didapati bersalah dalam isu ini berdasarkan siasatan pihak berkuasa. – MalaysiaGazette