Mohamed Usuf (kanan) menunjukkan syabu yang dirampas pihaknya pada sidang media di IPK Pulau Pinang hari ini.

GEORGE TOWN – Seorang pengedar tegar yang memiliki 11 rekod jenayah lampau bagaikan tidak serik apabila dia sekali lagi ditahan polis bersama syabu bernilai RM571,500 di kediaman sewanya di Nibong Tebal, dekat sini, semalam.

Lelaki tempatan berusia 51 tahun itu kali terakhir ditahan di bawah Akta Dadah Berbahaya (Langkah-langkah Pencegahan Khas) 1985 pada 2018.

Timbalan Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Mohamed Usuf Jan Mohamad berkata, suspek ditahan jam 7 malam di beranda rumahnya sebelum membawa kepada penemuan lebih 17.29 kilogram syabu dalam bungkusan keemasan tertera teh Cina.

Mohamed Usuf (tengah) bercakap pada sidang media di IPK Pulau Pinang hari ini.

Jelas beliau, syabu bernilai RM571,500 itu disembunyikan dalam beg bagasi dan dipercayai untuk pasaran tempatan.

“Semakan lanjut mendapati suspek mempunyai 11 rekod lampau termasuk 10 daripadanya membabitkan dadah. Dia juga didapati aktif dalam pengedaran bahan terlarang itu sejak Oktober tahun lalu.

“Suspek juga didapati positif dadah jenis methamphetamine dan dadah yang dirampas itu boleh digunakan 87,000 penagih.

Syabu dalam bungkusan teh Cina itu disembunyi dalam beg bagasi bagi mengaburi mata pihak berkuasa.

“Turut dirampas sebuah kereta dan wang tunai berjumlah RM19,200,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Kontinjen Pulau Pinang hari ini.

Tambah Mohamed Usuf, suspek direman bermula hari ini sehingga 1 April depan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast