Pasukan SWM Environment mengedarkan risalah elakkan pembaziran makanan kepada peniaga bazar di Muar.

KUALA LUMPUR – Universiti Tun Hussein Malaysia (UTHM) melalui Fakulti Teknologi Kejuruteraan (FTK) dengan kerjasama SWM Environment Sdn. Bhd. (SWM Environment) telah menganjurkan kempen #Jangan Sudah Terhantuk Baru Tengadah bagi mengelakkan pembaziran makanan sepanjang bulan Ramadan.

Kempen yang diadakan buat julung kalinya itu merupakan projek perintis kolaborasi kedua pihak melibatkan bazar makanan di sekitar negeri Johor khususnya di enam daerah Johor Utara iaitu Batu Pahat, Muar, Segamat, Labis, Tangkak dan Yong Peng.

Menurut Ketua Projek Kempen #Jangan Sudah Terhantuk Baru Tengadah, Ts. Dr. Roslinda Ali yang juga Pensyarah Kanan UTHM, trend pembuangan sisa makanan pada musim Ramadan dan perayaan meningkat antara 15 hingga 20 peratus setiap tahun.

Pada tahun 2023, laporan dari Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) menunjukkan kutipan sisa makanan yang dibuat pada bulan Ramadan meningkat sebanyak 2,508 tan setiap hari berbanding hari biasa membawa kepada 75, 240 tan sisa makanan dikutip sepanjang bulan Ramadan.

Fenomena ini memerlukan tindakan segera untuk mengatasi cabaran pembaziran makanan yang semakin meningkat.

“Ini kerana sisa makanan terkumpul bukan sahaja akan mengeluarkan bau yang busuk, malah mengeluarkan gas metana, yang merupakan gas rumah hijau yang menyumbang kepada pemanasan global dan perubahan iklim.

“Kami berharap melalui kempen ini, masyarakat bukan sahaja akan menjadi seorang pembeli yang bijak memilih kuantiti makanan yang diperlukan, tetapi secara tidak langsung memberi kesedaran kepada mereka bahawa bijak berbelanja turut membantu menjimatkan perbelanjaan selain dapat menjaga kesihatan badan,” katanya.

Sepanjang kempen dijalankan, hebahan poster akan diedarkan oleh pihak SWM Environment kepada peniaga dan pembeli di bazar di samping agihan beg serba guna sebagai usaha untuk mengurangkan penggunaan plastik sekali guna di bazar Ramadan.

Pegawai Eksekutif Kanan SWM Environment, Muhamad Bakhtiar Azni berkata, selain daripada mengurangkan pembaziran makanan, masyarakat juga harus sentiasa diingatkan supaya tidak menggunakan plastik sekali guna dalam aktiviti jual-beli.

“Inisiatif ini bagi membantu Malaysia berjaya mencapai sasaran dan menjadi sebuah negara bebas plastik menjelang 2025,” ujar beliau. – MalaysiaGazette