Fadillah Yusof

KUALA LUMPUR – Kerajaan memperkenalkan program Skim Solar for Rakyat Incentive Scheme (SolaRIS) untuk menggalakkan pemasangan sistem solar PV oleh pengguna domestik.

Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, skim berkenaan dijangka meningkatkan penerapan penjanaan solar di kalangan rakyat di bawah Program Net Energy Metering (NEM).

“Pemasangan sistem solar PV (fotovoltaik) di premis kediaman oleh pengguna domestik merupakan langkah quick wins bagi membolehkan ruang bumbung bangunan dimanfaatkan untuk penjanaan tenaga boleh baharu (TBB).

“Mengambil kira potensinya yang besar, pemasangan sistem solar PV di premis kediaman wajar diperluaskan bagi menyokong usaha kerajaan untuk meningkatkan kapasiti TBB dalam sistem pembekalan elektrik kepada 70 peratus menjelang tahun 2050 serta mampu mengurangkan perlepasan karbon oleh sektor bekalan elektrik,” katanya menerusi kenyataan.

Menurut Faddilah, melalui program tersebut kerajaan pada dan selepas 1 April akan melaksanakan pemberian rebat berjumlah RM1,000/kWac sehingga maksimum RM4,000 kepada pengguna baharu NEM Rakyat yang mengemukakan permohonan NEM kepada Pihak Berkuasa Pembangunan Tenaga Lestari (SEDA) Malaysia.

Katanya, skim yang dikendalikan oleh Tenaga Nasional Berhad (TNB) berkenaan terbuka kepada semua warga negara Malaysia dengan had tuntutan sekali bagi setiap seorang yang merupakan pemegang akaun TNB.

“Skim ini adalah terbuka kepada mereka yang merupakan pemohon kali pertama bagi Program NEM; pemberian rebat adalah berdasarkan prinsip “first come first served” bagi kuota NEM Rakyat yang dimohon bermula 1 April sehingga 31 Disember 2024 dan permohonan NEM Rakyat yang telah diperolehi perlu beroperasi selewat-lewatnya 31 Mac 2025, atau sehingga kesemua kuota rebat SolaRIS habis diagihkan, yang mana terdahulu.

“Pembayaran rebat hanya akan dibuat selepas pemasangan serta pengoperasian sistem solar PV di bawah Program NEM Rakyat, atas nama pemegang bil dan akan didepositkan ke dalam akaun bank tempatan pengguna, tertakluk kepada terma dan syarat tuntutan dan pemberian insentif ini akan dikendalikan oleh TNB dan perincian program ini boleh didapati di laman sesawang TNB, SEDA Malaysia dan Suruhanjaya Tenaga,” tambahnya.

Selain itu Fadillah berkata, kerajaan juga bersetuju meluluskan kuota tambahan sebanyak 100 megawatt (MW) di bawah Program NEM Rakyat, menjadikan jumlah kuota yang diperuntukkan meningkat kepada 350MW.

“Permohonan kuota untuk Program NEM Rakyat ini dibuka sehingga 31 Disember 2024 atau sehingga kesemua kuota yang diperuntukkan habis diagihkan, yang mana terdahulu,” katanya lagi.-MalaysiaGazette