KUALA LUMPUR – Masyarakat antarabangsa diseru supaya menekan Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC) agar mempercepatkan pematuhan sepenuhnya terhadap resolusi baharu gencatan senjata di Gaza.
Presiden Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM), Mohd Azmi Abdul Hamid berkata, adalah sia-sia untuk menjangkakan Israel akan mematuhi resolusi keamanan yang berkekalan memandangkan resolusi itu mengehadkan gencatan senjata hanya dua minggu sahaja.
Katanya, masyarakat dunia mesti mengambil peluang untuk mendesak gencatan senjata kekal dan menamatkan kepungan.
“Kami menyeru kekuatan gabungan komuniti global untuk menguatkuasakan sekatan menyeluruh terhadap Israel.
“Tiada perdagangan (import atau eksport), tiada transaksi kewangan, tiada komunikasi, tiada hubungan diplomatik, tiada pertukaran senjata atau teknologi.
“Israel tidak menunjukkan minat untuk mematuhi keputusan UNSC. Hampir pada masa yang sama Resolusi UNSC untuk gencatan senjata segera diluluskan, Israel melancarkan serangan di Rafah membunuh 15 orang awam Palestin,” katanya menerusi kenyataan.
Menurut Mohd Azmi, Israel diketahui dilindungi oleh Amerika Syarikat (AS) dalam setiap urusan antarabangsa, dan kini tiba masanya untuk mengisolasi AS dan melindungi ekonomi dunia daripada negara kuasa besar itu kerana telah bersubahat dengan Israel dalam kempen ketenteraan yang ganas di Gaza.
“Biden dan Trump kedua-duanya adalah pembunuh rakyat Palestin. Israel akan terus kukuh di bawah salah satu daripada mereka. AS bersubahat dengan jenayah perang dan pembunuhan beramai-ramai Israel.
“Walaupun undang-undang di AS mengenai pengharaman penjualan senjata dan pemindahan ke negara yang melaksanakan pelanggaran undang-undang antarabangsa, Israel tetap terkecuali dan diberi kebebasan mengatasi undang-undang oleh AS.
“Resolusi UNSC 2728 kini mesti dikuatkuasakan dengan menghantar pasukan penjaga keamanan jika Israel gagal mematuhi gencatan senjata segera,” ujarnya.
Tambah beliau, Resolusi itu tidak bermakna sekiranya ia tidak dipaksa keatas Israel untuk menghentikan serangan daratnya di Gaza .
Katanya, piagam PBB memberikan UNSC tanggungjawab utama untuk mengekalkan keamanan dan keselamatan antarabangsa.
Justeru, dalam melaksanakan tanggungjawab tersebut, majlis berkenaan boleh menubuhkan operasi keamanan PBB.
“Masyarakat dunia mesti mengambil peluang untuk mendesak gencatan senjata kekal dan menamatkan kepungan.
“Resolusi gencatan senjata sudah lama tertangguh. Beribu-ribu terkorban dan cacat. Ratusan ribu kehilangan tempat tinggal. Bagaimanapun keputusan itu masih penting. Lebih penting ialah memastikan ia dilaksanakan sepenuhnya.
“Sekarang adalah masanya untuk meluluskan satu lagi resolusi untuk gencatan senjata kekal yang melangkaui melebihi tarikh akhir Ramadan.
“Jangka masa untuk berhenti selama hampir dua minggu untuk memberi Gaza peluang bernafas untuk mendapatkan akses kepada bantuan sokongan hidup masih tidak mencukupi.
“Tempoh gencatan senjata hingga berakhir Ramadan sama sekali tidak mencukupi untuk melindungi nyawa warga Gaza. Gencatan senjata kekal adalah satu-satunya cara,” katanya. – MalaysiaGazette