Temubual MalaysiaGazette bersama Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO merangkap Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Ahmad Maslan di pejabat Ahli Parlimen, Kuala Lumpur. Foto SYADILA AMARI, 27 MAC 2024.

KUALA LUMPUR – Isu sarung kaki tertera kalimah Allah merupakan satu pengajaran pahit dan sepatutnya dijadikan pengajaran kepada semua pihak agar ia tidak berulang lagi.

Ahlu Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, orang bukan Islam sepatutnya sedar terdapat beberapa perkataan yang sensitif kepada umat Islam yang tidak boleh dipermainkan.

“Saya harap isu itu semakin reda tetapi hendaklah dijadikan ingatan terutama orang bukan Islam di Malaysia bahawa ada perkataan-perkataan yang mesti mereka tahu jangan tersilap (seperti) Allah, Muhamad, al-Quran, kaabah, solat, puasa, Ramadan, zakat, haji dan halal serta syariah.

“Perkataan-perkataan sebegitu mereka tidak tahu dan jangan sengaja dan jangan cuba-cuba kerana ia hyper sensitive bukan lagi sensitif kepada orang Islam, lebih-lebih lagi bulan Ramadan.

“Oleh saya harap ia dijadikan pengajaran yang pahit dan jangan berulang lagi dan kena ingatkan segalanya,” katanya ketika ditemui MalaysiaGazette di sini hari ini.

Ahmad yang Timbalan Menteri Kerja Raya berpendapat isu kalimah Allah menjadi kontroversi kerana ia muncul tiba-tiba pada bulan Ramadan dan memberi sentiment kepada umat Islam di negara ini.

“Tentulah sentimennya berbeza dan kalimah Allah ada tulisan alif lam lam ha dan Allah. Tak kan bukan Islam tidak tahu Allah itu apa. Kalau tulisan jawi mungkin tidak faham.

“Jadi maka yang berlaku sudah berlaku dan kita tahu sudah didakwa di mahkamah pun semalam. Saya harap isu itu semakin reda tetapi hendaklah dijadikan ingatan terutama orang bukan Islam di Malaysia,” katanya.

Semalam, tujuh pihak termasuk KK Super Mart & Superstore Sdn Bhd dan Xin Jian Chang Sdn Bhd yang juga pembekal stoking tertera kalimah Allah kepada rangkaian kedai serbaneka itu didakwa di Mahkamah Sesyen Shah Alam.

Selain dua syarikat berkenaan, turut didakwa Pengasas, Pengarah dan Pengerusi Eksekutif Kumpulan KK Super Mart, Datuk Seri Dr Chai Kee Kan, 57, dan isterinya yang juga pengarah syarikat sama, Datin Seri Loh Siew Mui, 53, selain Pengarah Xin Jian Chang Sdn Bhd yang juga tiga beranak iaitu Soh Chin Huat, 61; isterinya, Goh Li Huay, 62; dan anak mereka, Soh Hui San, 36.

Mengikut pertuduhan, Kee Kan dan Siew Mui didakwa dengan sengaja berniat melukakan perasaan umat Islam dengan mempamerkan stoking bercetak kalimah Allah Tiga pengarah Xin Jian Chang Sdn Bhd pula berdepan pertuduhan bersubahat melakukan kesalahan berkenaan.

Pendakwaan mengikut Seksyen 298 Kanun Keseksaan (KK) yang membawa hukuman penjara hingga setahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan dibaca bersama Seksyen 298 KK itu yang memperuntukkan hukuman sama.

Sementara itu,  Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim hari ini turut menegaskan semua pihak berhenti mengambil kesempatan ke atas isu sarung kaki tertera kalimah Allah.

Titah baginda, perkara ini sedang melalui proses perundangan.

“Saya telah menitahkan untuk tindakan diambil mengikut lunas undang-undang, maka tidak perlu lagi untuk mana-mana pihak terus mengapi-apikan kemarahan secara berterusan.

“Tindakan diambil bukanlah untuk menghukum semata-mata, tetapi sebagai pengajaran dan peringatan kepada semua untuk menjaga sensitiviti rakyat Malaysia,” titah baginda.

Yang di-Pertuan Agong bertitah, adalah lebih baik untuk masyarakat mengambil iktibar daripada kejadian ini dan berusaha untuk mengeratkan lagi perpaduan. – MalaysiaGazette