KUALA LUMPUR – Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia membidas desakan bekas Naib Presiden MCA, Ti Lian Ker yang mahu ketuanya, Dr Muhamad Akmal Saleh meletak jawatan kerana didakwa menimbulkan ketegangan kaum dan menjejaskan ketenteraman awam.
Ketua Pergerakan UMNO Bahagian Subang, Datuk Seri Fariz Hazurin Ismail berkata, alasan Lian Ker itu tidak berasas kerana Dr Akmal hanya mempertahankan kesucian Islam sebagai agama Persekutuan.
“Sebagai pemimpin MCA dan parti komponen Barisan Nasional, Lian Ker sepatutnya lebih memahami tindakan Dr Akmal selari dengan perjuangan UMNO yang memperjuangkan agenda Melayu, bumiputera dan Islam.
“Sudah enam dekad MCA bersama UMNO menerajui Kerajaan Malaysia sebelum ini dan hari ini Kerajaan Perpaduan, takkan Lian Ker masih tidak faham perjuangan UMNO? Sepatutnya MCA sokong UMNO, bukan terus hentam tak tentu pasal.
“Adakah Tian Ker nak lihat UMNO berpeluk tubuh dan membisu ketika agama Islam terus dihina dan diperlekeh bukan Islam demi kepentingan pihak tertentu?” soalnya kepada MalaysiaGazette hari ini.
Terdahulu, media melaporkan bekas Naib Presiden MCA itu menyalahkan Dr Akmal dan meminta Ketua Pergerakan UMNO Malaysia merangkap Exco Melaka itu bertanggungjawab dalam isu stoking tertera kalimah Allah dan mendesak beliau meletak jawatan.
Menurut laporan itu, tindakan Dr Akmal itu menyebabkan meningkatnya ketegangan antara kaum dan berlaku kejadian di beberapa cawangan kedai serbaneka KK Mart yang dilempar bom petrol baru-baru ini.
Fariz yang juga Exco Pergerakan Pemuda Malaysia berkata, kelantangan Dr Akmal sepatutnya dipuji dan bukannya dikeji, kerana beliau tidak teragak-agak mempertahankan Islam ketika nama Allah dijadikan hiasan di kaki oleh pihak tidak bertanggungjawab.
“Saya berasa hairan apabila komponen Kerajaan Perpaduan sendiri memberi gambaran mereka di ambang defisit sokongan rakyat dengan kelakuan Dr Akmal sedangkan Ketua Pemuda UMNO ini melaksanakan tanggungjawabnya dengan penuh integriti,” katanya.
Selain itu, keputusan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO yang menyokong perjuangan Dr Akmal itu menunjukkan tindakan mempertahankan kesucian Islam itu tidak menyalahi undang-undang dan Perlembagaan Persekutuan.
Sehubungan itu, Fariz bersama akar umbi Pergerakan Pemuda UMNO konsisten dan berdiri teguh di belakang Dr Akmal dalam menyokong keputusannya untuk mempertahankan Islam.
“Tindakan beliau tidak dianggap sebagai satu sebab untuk menuntut peletakan jawatan. Kami berharap isu ini dapat diselesaikan dengan matang dan adil, tanpa melibatkan politik perkauman atau kebencian yang tidak berasas,” katanya lagi. – MalaysiaGazette