Bursa Malaysia
Logo Bursa Malaysia

KUALA LUMPUR – Johor Plantations Group Bhd (JPG) telah mendapat kelulusan daripada Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) untuk disenaraikan di Pasaran Utama Bursa Malaysia.

Syarikat perladangan kelapa sawit huluan itu berkata, tawaran awam permulaan (IPO) melibatkan sehingga 875.0 juta saham akan terdiri daripada terbitan awam sebanyak 464.0 juta saham baharu dan tawaran untuk penjualan sehingga 411.0 juta saham sedia ada.

Dalam satu kenyataan hari ini, ia berkata, daripada 875.0 juta saham, sehingga 485.0 juta saham akan disediakan kepada rakyat Malaysia dan institusi asing manakala 312.5 juta saham akan diperuntukkan kepada pelabur Bumiputera yang diluluskan oleh Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri.

Sebanyak 50.0 juta saham akan disediakan untuk permohonan oleh rakyat Malaysia menerusi pengundian manakala baki 27.5 juta saham akan diperuntukkan untuk orang yang layak yang telah menyumbang kepada kejayaan kumpulan JPG.

Pengarah Urusan JPG, Mohd Faris Adli Shukery berkata, susulan kelulusan untuk pelaksanaan penyenaraian berkenaan, syarikat itu sudah bersedia untuk berkembang ke segmen hiliran perniagaan perladangan dan mempelbagaikan tawaran produknya untuk memasukkan minyak dan lemak khusus untuk pengeluaran makanan.

Beliau berkata langkah strategik itu akan meningkatkan kedudukannya sebagai pengeluar kelapa sawit bersepadu sepenuhnya dan menjana hasil tambahan merentas keseluruhan rantaian nilai serta menjana nilai pemegang saham yang positif, mencerminkan komitmennya terhadap penciptaan kekayaan jangka panjang untuk pelabur.

“Justeru, JPG akan menggunakan sebahagian daripada hasil IPO kami secara strategik untuk membina kompleks minyak sawit mampan bersepadu dan pada masa sama memastikan kesinambungan perniagaan melalui strategi penanaman semula yang berdisiplin.

“Berdasarkan kepada rekod prestasi kami yang bereputasi dan model perniagaan bersepadu mantap, kami yakin dengan trajektori pertumbuhan masa depan kami dan akan kekal teguh dalam komitmen kami untuk memberikan kecemerlangan serta mematuhi amalan perladangan yang mampan,” kata Mohd Faris dalam kenyataan itu.

RHB Investment Bank Bhd adalah penasihat utama, penyelaras global bersama, penyelaras bersama, penaja jamin pengurusan, dan penaja jamin bersama untuk pelaksanaan IPO ini.

Sementara itu, AmInvestment Bank Bhd dan CIMB Investment Bank Bhd ialah penyelaras global bersama, penyelaras bersama dan penaja jamin bersama; CLSA Singapore Pte Ltd dan CLSA Securities Malaysia Sdn Bhd pula adalah penyelaras global bersama dan penyelaras bersama; manakala Affin Hwang Investment Bank Bhd adalah penyelaras bersama dan penaja jamin bersama. – BERNAMA