BUTTERWORTH – Seorang pembantu kedai dijatuhkan hukuman penjara tiga hari dan denda RM7,000 oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini.
Ia diputuskan selepas tertuduh mengaku salah menggunakan kekerasan jenayah terhadap anggota polis yang sedang melakukan operasi membanteras kegiatan samseng jalanan dan menunggang motosikal secara melulu pada 30 Mac lalu.
Majistret Siti Zulaikha Nordin @ Ghani menjatuhkan hukuman itu terhadap tertuduh, Muhammad Faiz Muhammad Zaid, 20, selepas dia mengaku salah terhadap kedua-dua pertuduhan yang dibacakan ke atasnya.
Mengikut pertuduhan pertama, Muhammad Faiz didapati telah menggunakan kekerasan jenayah terhadap anggota polis cawangan trafik, Koperal Muhamad Izhar Rosli ketika penjawat awam itu menjalankan kewajipannya.
Tertuduh yang menetap di Sungai Petani, Kedah itu didakwa melakukan kesalahan tersebut di Kilometer 121.5 Lebuh Raya Utara Selatan berhampiran Kepala Batas pukul 4.40 pagi pada 30 Mac lalu.
Atas kesalahan berkenaan, dia didakwa mengikut Seksyen 353 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.
Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa menunggang motosikal jenis Yamaha Y15Z di jalan awam secara melulu di lampu isyarat Jalan Kampung Telok Sungai Dua menghala Lingkaran Luar Butterworth (BORR) di Bagan Ajam.
Kesalahan itu dilakukan mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang memperuntuk hukuman penjara maksimum lima tahun dan denda hingga RM15,000 jika sabit bersalah.
Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nurameera Shahrul Azrin kemudian memohon tertuduh dijatuhi hukuman setimpal kerana kes itu membabitkan penjawat awam serta berbentuk pengajaran.
Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman denda RM2,000 bagi pertuduhan pertama manakala penjara tiga hari bermula tarikh tangkap iaitu 30 Mac dan denda RM5,000 bagi pertuduhan kedua.
Tertuduh membayar denda tersebut.
Media pada Sabtu lalu melaporkan, seorang polis patah tulang rusuk selepas motosikalnya dilanggar mat rempit. – MalaysiaGazette