Fahmi Fadzil

PUTRAJAYA – Kementerian Komunikasi akan mengadakan pertemuan dengan syarikat konglomerat, Meta, Isnin ini bagi membincangkan isu mengenai aspek keselamatan dalam talian.

Menterinya, Ahmad Fahmi Fadzil berkata, pertemuan itu dibuat bagi membangkitkan isu bagaimana platform sosial kendalian syarikat berkenaan digukanakan untuk menyebarkan berita palsu.

“Sejak semalam kementerian ini mendapati ada siri mesej tersusun, satu tindakan yang dimulakan oleh beberapa watak, beberapa pihak, khususnya di platform Facebook yang membuat tuduhan dangkal dan jahat.

“Mereka menuduh bahawa tahun ini tidak ada majlis tilawah al-Quran peringkat kebangsaan atau antarabangsa dan mesej ini diulang dengan corak sedikit berbeza.

“Jadi minggu depan, Isnin saya dan MCMC serta beberapa agensi lain akan mengadakan pertemuan dgn Meta dan kita akan bangkitkan bagaimana Meta diperalat dan diperguna untuk memesong fakta dan menyebar maklumat serta berita palsu,” katanya dalam sidang media selepas mesyuarat Kabinet, hari ini.

Mengulas lanjut, Fahmi berkata, mesyuarat itu akan disertai Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).

Bercakap mengenai sebaran maklumat palsu berkaitan penganjuran tilawah al-Quran, Fahmi berkata, beliau sudah mengarahkan MCMC untuk meneliti dan mengenal pasti semua pihak yang terbabit serta bersekongkol dalam isu berkenaan.

Fahmi berkata, tindakan bersesuaian dan tegas akan diambil memandangkan ada pihak tertentu cuba memesong fakta.

“Jadi ini antara perkara yang memang menjadi topik atau agenda dalam perbincnagan akan diadakan nanti. Sekiranya pihak Meta gagal memberi kerjasama, kita ada beberapa tindakan yang sedang dirangka, yang akan kita ambil kemudian,” katanya.

Selain itu, Fahmi berkata, pihaknya akan membangkitkan isu keselamatan dalam talian mengenai kanak-kanak di bawah usia 13 tahun yang tidak sepatutnya mempunyai akaun media sosial dalam pertemuan bersama Meta kelak. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast