Nik Nazmi mengetuai Ops Gempur Raya 2024 di Shah Alam hari ini.

SHAH ALAM – Sebanyak 39 premis dikenakan kompaun berjumlah RM78,000 kerana didapati melakukan pelbagai kesalahan mengikut Seksyen 25, Akta Kualiti Alam Sekitar (AKAS) 1974 dalam Ops Gempur Raya 2024 bermula 17 Mac hingga 3 April lalu.

Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, sebanyak 50 premis pula diberikan notis arahan, penahanan operasi kelengkapan (5) dan penyediaan kertas siasatan bagi tujuan pendakwaan (3).

“Sepanjang 18 hari Ops Gempur Raya 2024, sebanyak 203 premis diperiksa dan 97 dikenakan tindakan kerana melakukan pelanggaran undang-undang.

“Antara kesalahan itu ialah pelepasan efluen perindustrian tidak terawat, pelupusan haram buangan terjadual serta pembakaran terbuka,” katanya pada sidang media selepas mengetuai Ops Gempur Raya 2024 di sini hari ini.

Turut hadir Ketua Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS), Datuk Wan Abdul Latiff Wan Jaffar.

Dalam pada itu, Nik Nazmi berkata, sebanyak 662 premis pula dikenakan tindakan hasil pemeriksaan pihaknya ke atas 4,547 premis dalam 25 Ops Gempur dari 1 Januari hingga 3 April tahun ini.

“Tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pihak yang menyebabkan pencemaran alam sekitar.

“Jika sabit kesalahan di bawah Seksyen 25, AKAS 1974, boleh didenda tidak lebih RM100,000 atau penjara selama tempoh tidak melebihi 5 tahun atau kedua-duanya sekali.

“Mengikut Seksyen 348, AKAS 1974 iaitu berkaitan pengurusan buangan terjadual, jika disabit kesalahan boleh dihukum penjara mandatori serta denda maksimum sebanyak RM500,000,” katanya.

Menurut Nik Nazmi, Ops Gempur Raya 2024 memberi fokus kepada premis-premis sektor industri dikenalpasti berisiko tinggi mencemarkan alam sekitar.

“Ia meliputi industri-industri pembuatan produk logam, kertas, galian bukan logam, makanan, kimia, berasaskan getah dan plastik serta produk berasaskan petroleum.

“Tumpuan juga turut diberikan kepada premis-premis yang terletak di hulu takat pengambilan air,” katanya lagi. – MalaysiaGazette