KUALA LUMPUR – Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) telah mengumumkan kadar dividen sebanyak 5.0 peratus melibatkan jumlah pembayaran sebanyak RM485.8 juta untuk tahun kewangan 2023.
Menurut Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, jumlah pembayaran tahun lepas meningkat berbanding RM476.45 juta tahun 2022, sekali gus menunjukkan kejayaan dan komitmen pelbagai program transformasi yang telah dijalankan oleh LTAT.
“Kadar dividen LTAT telah kembali pulih pada tahun 2022 jika dibandingkan dengan kadar terendah dalam sejarahnya iaitu dua peratus pada tahun 2018.
“Pendapatan bersih LTAT telah meningkat kepada RM537.80 juta pada tahun 2023 berbanding RM432.47 pada tahun 2022 yang merupakan peningkatan sebanyak 24%,” katanya ketika mengumumkan dividen LTAT bagi tahun 2023.
Malah, keuntungan terkumpul selepas dividen LTAT juga telah mula berkembang dengan lebih besar kepada RM756.81 juta berbanding RM498.7 juta pada tahun 2022, peningkatan sebanyak 52% dan berbanding hanya RM38.7 juta pada penghujung tahun 2018.
Tambahnya, agihan dividen tahun lalu itu turut membuktikan LTAT mempunyai posisi kewangan yang kukuh, yang mana gabungan keseluruhan rizab LTAT merekodkan kedudukan kewangan yang positif.
Mohamed Khaled berkata, LTAT sentiasa memastikan kadar solvensi bukunya tidak kurang daripada 100% ketika mengisytiharkan dividen tahunannya kepada pencarum bagi
menjamin keupayaan LTAT untuk melaksanakan obligasi kewangannya
pada setiap masa.
“Malah, kadar dividen yang diumumkan hari ini, secara asanya menzahirkan perkembangan yang positif buat LTAT kerana ia berjaya untuk memberi kadar dividen yang telah beransur pulih, mampan dan stabil. – MalaysiaGazette
















