Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail memberi sumbangan ketika Majlis Penerapan Nilai-Nilai Murni Jabatan Imigresen di Depot Imigresen Bukit Jalil, Kuala Lumpur. Foto SYADILA AMARI, 05 APRIL 2024

KUALA LUMPUR – Seramai 300 kanak-kanak warga asing berusia di bawah umur 10 tahun  ditempatkan di tiga buah Baitul Mahabbah di seluruh negara.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, kanak-kanak yang ditempatkan di Nilai, Negeri Sembilan; Papar, Sabah dan Miri, Sarawak itu dilahirkan di depot Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) atau ditinggalkan ibu bapa mereka ketika operasi JIM dilaksanakan.

“Atas perikemanusiaan, kita jaga kanak-kanak ini di depot dan diasingkan menerusi Pusat Penjagaan Baitul Mahabbah yang mana mereka ini berpeluang mengikuti kelas seperti mengenali huruf dan sebagainya yang dikendalikan sendiri pihak pegawai JIM.

“Selain itu,keadaan suasana yang disediakan untuk kanak-kanak itu di Baitul Mahabbah adalah sangat kondusif dan selamat untuk anak-anak itu,” katanya selepas majlis Penerapan Nilai-Nilai Murni JIM bersama Menteri Dalam Negeri di Depot Imigresen Bukit Jalil, di sini, hari ini.

Menurut Saifuddin, kementeriannya telah menerima peruntukan sebanyak RM10 juta daripada kerajaan untuk menyediakan tiga lagi Baitul Mahabbah di Kelantan, Johor dan Kedah.

Tambah beliau, pihaknya akan mengubahsuai premis sedia ada kepada Baitul Mahabbah bagi mengurangkan kos mewujudkan kemudahan tersebut.

Sementara itu, Saifuddin memberitahu, bagi tempoh Januari hingga Mac tahun ini, Jabatan Imigresen merekodkan seramai 13,530 tahanan di depot imigresen dan Baitul Mahabbah.

Daripada jumlah itu, seramai 9,438 orang adalah lelaki manakala  2,696 adalah wanita dan 772 orang merupakan kanak-kanak lelaki manakala 624 orang adalah kanak-kanak perempuan. – MalaysiaGazette