PUTRAJAYA – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) mengeluarkan 164 kompaun bernilai RM558,956.63 kepada premis atas pelbagai kesalahan sepanjang Ops Pantau 2024 dari 12 Mac hingga 4 April lalu.
Menterinya, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, antara kesalahan tertinggi yang dikeluarkan kompaun melibatkan isu harga barang, alat penimbang, promosi mengelirukan dan tidak meletakkan tanda harga.
“Sebanyak 38,126 premis telah diperiksa di seluruh negara dalam Ops Pantau 2024. Sebanyak 1,216 aduan oleh pengguna juga telah diterima dalam tempoh yang sama melibatkan pelbagai kategori aduan.
“Antaranya gagal meletakkan tanda harga, tidak menggunakan alat timbang sah dan menjual barang-barang tiruan,” katanya pada sidang media di sini hari ini.
Terdahulu beliau melakukan lawatan kerja di Pusat Arahan Penguat Kuasa (ECC) KPDN yang menggunakan Sistem Pengurusan Penguatkuasaan Bersepadu (IEMS).
Dalam pada itu, Armizan berkata, pelaksanaan Ops Pantau menggunakan IEMS untuk membolehkan tindakan susulan yang pantas dan berkesan.
“Bermula Januari 2024, IEMS telah diguna pakai sepenuhnya di seluruh negara dengan Pembangunan Fasa 2 yang telah menaik taraf sistem sedia ada,” katanya.
Jelasnya, pembangunan Fasa 2 ini melibatkan komponen penambahbaikan kaedah pemeriksaan dan pengkompaunan dengan konsep penguatkuasaan meliputi 5P iaitu Perisikan, Pemeriksaan, Penyiasatan, Pendakwaan dan Pengurusan Ekshibit.
“Penaiktarafan sistem ini meliputi Modul Kawal Selia Harga dan Bekalan, Harta Intelek, Pengurusan Penguatkuasaan dan Aplikasi Mudah Alih bagi kegunaan operasi Pegawai Penguatkuasa menerusi telefon bimbit, tablet komputer, komputer riba dan pencetak,” katanya.
Armizan juga berkata, sepanjang cuti perayaan Hari Raya Aidilfitri, ECC akan terus beroperasi seperti biasa dan tidak ditutup bagi memastikan tugas-tugas penguatkuasaan dan pemantauan dapat diteruskan.
“Sistem ini diintegrasi secara terus dan mengikut masa nyata dengan ECC.
“Fokus utama untuk memastikan keberadaan bekalan barang dan kestabilan harga barangan keperluan sepanjang musim perayaan ini.
“ECC KPDN akan beroperasi setiap hari bermula jam 8 pagi sehingga 8 malam bagi Ibu Pejabat KPDN Putrajaya, manakala KPDN Negeri di seluruh negara waktu operasi dari jam 8 pagi sehingga 6 petang,” katanya.
Beliau memberi jaminan sistem IEMS akan menyelesaian aduan, penerimaan aduan bagi kategori isu bekalan dan harga barang akan disusuli dengan siasatan dalam tempoh 24 jam.
“Manakala siasatan bagi kategori aduan-aduan lain, tempoh tindakan susulan yang ditetapkan adalah 14 hari,” katanya.
Sementara itu, sebanyak 914 aduan telah diterima dan disiasat termasuk item barangan minyak masak (334), gula (229), telur (149), ayam (98) dan gas petroleum cecair LPG (62).
“KPDN ingin mengingatkan semua peniaga perlu mematuhi perundangan yang telah ditetapkan oleh Kerajaan terutamanya sepanjang musim perayaan Hari Raya Aidilfitiri bagi mengelakkan daripada dikenakan tindakan tegas,” katanya lagi. – MalaysiaGazette