KUALA LUMPUR – Cardao Automotif Sdn Bhd memperkenalkan skim pemilikan kenderaan mudah dan mampu milik khas untuk rakan pemandu e-Hailing khususnya Grab yang ingin menaiktaraf kereta sedia ada dari segmen kompak kepada sedan.
Pengarah Urusannya, Hafiz Norkhan berkata, tawaran ini membolehkan mereka memiliki kenderaan yang mempunyai ruang kabin lebih besar dan selesa di samping boleh menaik taraf kategori tempahan dari ekonomi kepada premium.
“Pendapatan pemandu e-Hailing hari ini boleh mencecah sehingga RM200 sehari, tetapi bergantung kepada jenis kenderaan yang dipandu.
“Hari ini kita tengok dalam bandar, pemandu e-Hailing tertumpu kepada kereta kompak atau kenderaan yang tidak mempunyai kapasiti ruang dalaman yang selesa dan besar.
“Kenderaan yang kita ada boleh dikatakan mewah bagi jenama Proton, dengan harga jualan kereta terpakai, ia menyamai harga kereta kompak baharu,” katanya kepada MalaysiaGazette, hari ini.
Menurut Hafiz, skim khas ini secara tidak langsung dapat membantu rakyat Malaysia untuk menambah pendapatan menerusi perkhidmatan e-Hailing dari empat kepada enam tempat duduk.
“Skim ini membuka peluang pendapatan bagi mereka yang ingin menambah pendapatan melalui perkhidmatan e-Hailing.
“Kami menyediakan kereta berkualiti untuk disewa oleh mereka yang tidak mempunyai kenderaan untuk digunakan sebagai kenderaan e-Hailing,” katanya.
Sementara itu, Pengarahnya, Datuk Calvin Yap berkata, syarikatnya menawarkan pemilikan secara mudah kenderaan terpakai jenama nasional seperti Proton X70, Proton Perdana dan Proton Preve dengan jaminan selama setahun selepas jualan.
“Harga kompetitif yang kami ditawarkan bermula dari RM29,000 bagi kereta Proton Preve; RM55,000 Proton Perdana 2.0 dan RM67,000 bagi Proton X70,” katanya.
Selain itu, katanya, Cardao Automotif turut menawarkan tawaran usahasama dengan mana-mana individu, syarikat mahupun koperasi yang berhasrat menguruskan kenderaan bagi tujuan sewa ataupun bagi kegunaan e-Hailing.
“Kami menyedari sektor e-Hailing hari ini merupakan sektor penting dalam perkhidmatan pengangkutan awam di Malaysia.
“Justeru, sudah sampai masanya kami ingin menggembleng usaha dan kemampuan kami untuk menawarkan kereta sedan untuk dijadikan sebagai kenderaan e-Hailing varian sedan kepada rakan pemandu Grab,” katanya lagi. – MalaysiaGazette