Akmal Saleh
Dr Akmal Saleh

KUALA LUMPUR – Dr Akmal Saleh secara sinikal meminta agar Naib Pengerusi DAP, Nga Kor Ming diberikan ‘cermin’ susulan kenyataannya berhubung isu ‘tukang bakar’ dan ‘parasit politik’.

Menerusi hantaran di Facebook, Ketua Pemuda UMNO itu dengan sinis berkata, memberi cermin kepada Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan itu disebabkan mungkin beliau telah lama tidak memandang objek itu.

“Boleh tolong bagi cermin tak kat menteri ni?

“Takut dia dah lama tak guna cermin sejak jadi menteri ni,” katanya ringkas.

Dalam hantaran sama, Akmal turut memuat naik tajuk keratan berita Kor Ming yang meminta semua pihak yang disifatkan sebagai ‘tukang bakar’ atau ‘parasit politik’ untuk bermuhasabah.

Kor Ming mahu pihak berkenaan mengambil iktibar semangat kesucian Ramadan ini dan Aidilfitri yang bakal menjelang untuk bermuhasabah terhadap segala kelemahan.

Tanpa merujuk mana-mana pihak, Pengerusi DAP Perak itu berkata, pihak terbabit tidak seharusnya menyalahkan sesiapa apabila tindakan tegas diambil pihak berkuasa ke atas mereka kerana masih berdegil walaupun amaran dan teguran sudah diberikan.

Merujuk arahan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim katanya, sesiapa sahaja tanpa mengira kedudukan, jawatan atau fahaman politik sekiranya melakukan kesalahan, maka dengan prinsip kedaulatan undang-undang layanan yang adil dan tanpa berbelah bahagi akan diambil tindakan oleh pihak berkuasa. -MalaysiaGazette