KUALA LUMPUR – Syarikat memproses makanan laut sejuk beku udang dan sotong, SBH Marine Holdings Berhad yang beribu pejabat di Kuala Kurau, Perak hari ini mula disenaraikan di Pasaran ACE Bursa Malaysia Securities Berhad.
Pengarah eksekutifnya, Saw Leng Hean berkata, sebanyak 180 juta saham dan harga tawaran awam awal (IPO) yang bernilai 22 sen seunit, saham itu disenaraikan dengan modal pasaran bernilai kira-kira RM39.6 juta.
“Lebih 70 peratus akan digunakan untuk pengembangan perniagaan dengan 40.4 peratus atau RM16 juta disalurkan untuk pembangunan ladang udang Selinsing, 16.4 peratus atau RM6.5 juta untuk pembinaan kilang pemprosesan makanan laut kedua dan satu lagi.
“Manakala 15.4 peratus atau RM6.1 juta lagi untuk pembelian mesin atau peralatan dan kenderaan bermotor.
“Baki hasil sebanyak RM7 juta dan RM4 juta telah diperuntukkan untuk modal kerja dan perbelanjaan penyenaraian,” katanya pada sidang media di Bursa Malaysia hari ini.
Turut hadir Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad dan Pengerusi Bursa Malaysia Securities Berhad, Tan Sri Abdul Wahid Omar.
SBH Marine Holdings mengeksport produk diprosesnya ke luar negara ke negara-negara di rantau Eropah, Timur Tengah dan Asia.
Syarikat beribu pejabat di Kuala Kurau, Perak dengan kilang pemprosesan makanan laut dan dua ternakan udang yang terletak di Kuala Kurau dan Selinsing, Perak.
Ia juga sedang dalam usaha menubuhkan pusat penetasan dan tapak semaian udang yang dijangka beroperasi pada 2024 serta membina kilang pemprosesan makanan laut kedua yang dijangka siap pada 2026.
Selain itu, saham tersenarai SBH Marine Holdings diklasifikasikan sebagai patuh Syariah oleh Majlis Penasihat Syariah Suruhanjaya Sekuriti Malaysia.
“Bahagian terbitan awam syarikat yang disediakan kepada orang ramai Malaysia melalui pengundian telah terlebih langgan pada kadar 27.7 kali dengan jumlah lebih 10,000 permohonan untuk lebih 1.2 bilion saham,” katanya.
Menurut Leng Hean, penyenaraian SBH Marine selaras dengan misi dan objektif SBH Marine Holdings untuk membangunkan sektor akuakultur di Perak serta membuka lebih banyak peluang pekerjaan dan pendidikan teknikal mengenai akuakultur kepada penduduk setempat dan belia,” katanya lagi. – MalaysiaGazette