Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berakap kepada media selepas Majlis Serah Terima Tugas Jawatan Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Bukit Aman di Pusat Latihan Polis (Pulapol), Kuala Lumpur. Foto WAN NABIL NASIR, 08 APRIL 2024.

KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah merampas kasut wanita bertumit tinggi yang didakwa tertera tulisan mirip kalimah Allah selepas tular di media sosial sejak kebelakangan ini.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, setakat 7 malam tadi, pihaknya berjaya merampas sebanyak 1, 145 pasang kasut yang mempunyai lambang mirip kalimah Allah membabitkan beberapa negeri di utara dan selatan Semenanjung.

“Dalam perkembangan terbaharu,  kes kasut wanita mempunyai tulisan seolah kalimah Allah itu, Jabatan Siasatan Jenayah akan berurusan dengan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) untuk menyiasat lanjut kes itu.

“Kita akan bersama-sama dengan JAKIM melihat adakah lambang kasut yang ada khat itu melambangkan tulisan kalimah Allah, siasatan kami menjurus kepada itu,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Serah Terima Tugas Jawatan Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Bukit Aman antara Datuk Mohd Azman Ahmad Sapri kepada timbalannya, Datuk Mohd Nasri Omar yang akan memangku jawatan itu.

Menurut Razarudin, rampasan itu dilakukan di Johor, Pulau Pinang, Kedah dan Kuala Lumpur.

“Sememangnya, dia display kat Vern (kedai jualan). maka penjual atau pengusaha pengeluar produk itu kita akan panggil dan setakat 7 malam tadi (Ahad) kita sudah menerima lapan laporan polis mengenai isu kasut ini,” tegasnya lagi.

Semalam Razarudin mengesahkan polis membuka kertas siasatan dalam kes tersebut selepas menerima aduan daripada seorang guru sekolah dari Kepala Batas selepas mengesan penularan kasut berjenama yang didakwa terlihat tulisan menyerupai kalimah Allah di media sosial. – MalaysiaGazette