Anis Zulaikha dikatakan hilang selepas keluar dari rumahya di Ara damansara kini sudah pulang pada malam raya..Ihsan IPD PJ

KUALA LUMPUR – Polis sedang giat terlibat dalam usaha mengesan seorang remaja perempuan bernama Anis Zulaikha Abdul Azim yang telah dilaporkan hilang sejak 6 April lalu.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Asisten Komisioner Shahrulnizam Ja’afar berkata, gadis warga tempatan itu dilaporkan tidak pulang ke rumah selepas keluar kira-kira jam 2.30 petang pada hari kejadian.

Katanya, polis menerima laporan pada 9.44 pagi 7 April lalu mengenai kehilangan perempuan itu.

“Kali terakhir Anis dilihat adalah kediamannya di alamat E-01-08 Ara Greens No 6A Jalan PJU 1A/3, Ara Damansara, Petaling Jaya.

“Siasatan awal polis mendapati remaja itu didapati keluar meninggalkan rumahnya disebabkan rasa terkongkong di dalam rumah,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Tambah beliau, pada waktu pagi hari kejadian itu, remaja berkenaan dikatakan  bergaduh dengan ibunya yang didakwa sangat tegas dan tidak membenarkannya bermain dengan telefon bimbit sehingga lewat malam.

Ibu remaja itu juga didakwa tidak membenarkannya keluar dengan kawan dan setakat ini belum pulang ke rumah.

“Sebelum keluar dari rumah, remaja itu dikatakan memberitahu ibunya dia hendak keluar, tanpa memaklumkan hendak pergi ke mana dan dengan siapa.

“Bagaimanapun, pembantu rumah memberitahu gadis itu dilihat keluar meninggalkan rumah dengan membawa beg bagasi bersamanya.

“Remaja itu memang sudah banyak kali memberitahu emaknya bahawa dia hendak lari dari rumah kerana rasa terkongkong dan dilarang keluar dengan kawan,” tegasnya lagi.

“Polis merayu orang ramai yang melihat atau mempunyai maklumat mengenai remaja itu tampil segera melaporkan kepada polis dengan tampil ke mana-mana balai berhampiran atau menghubungi Bilik Gerakan IPD Petaling Jaya di talian 03-79662222,” katanya lagi.-MalaysiaGazette