MELAKA – Luluh hati seorang ibu apabila melihat anak lelakinya maut sehari sebelum Aidilfitri dalam nahas di Jalan Tanjong Minyak, Bukit Rambai di sini awal pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira 1.04 pagi itu, seorang wanita dipercayai ibu penunggang motosikal berkenaan dilihat gagal mengawal emosi sebaik membuka kain yang menutupi mayat dan mendapati insan tersayang berlumuran darah.
Menerusi video berdurasi 19 saat yang tular, wanita itu dan beberapa individu lain dipercayai ahli keluarga mangsa menjerit memanggil nama mangsa yang sudah tidak bernyawa.
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, mangsa Muhammad Amin Fakhrullah Mohd Faiez, 19, maut ditempat kejadian akibat parah di kepala selepas motosikal ditunggangnya bertembung sebuah kereta dari arah bertentangan.
“Siasatan awal mendapati, mangsa yang menunggang motosikal jenis Yamaha Y15 dipercayai dalam dalam perjalanan pulang ke rumahnya dari arah Bukit Rambai ke Tanjong Minyak.
“Sebaik sampai di tempat kejadian, sebuah kereta jenis Honda City dipandu pelajar universiti berusia 22 tahun dipercayai memasuki laluan bertentangan sebelum bertembung dengan mangsa,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambahnya, mangsa yang parah di kepala kemudian disahkan meninggal dunia di lokasi oleh petugas perubatan manakala pemandu kereta tidak mengalami sebarang kecederaaan.
Mayat telah dihantar ke Unit Forensik Hospital Melaka untuk bedah siasat dan kes disiasat di bawah Sekyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – MalaysiaGazette