GEORGE TOWN – Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa orang ramai khsususnya umat Islam mengekalkan gaya hidup sihat dengan kurangkan pengambilan gula serta makanan berlemak ketika hari Raya Aidilfitri.
Presidennya, Mohideen Abdul Kadeer berkata, pengambilan lemak tidak sihat, gula dan kalori berlebihan boleh menyebabkan penambahan berat badan serta pelbagai masalah kesihatan seperti diabetes, darah tinggi dan penyakit jantung.
“Hari raya Aidilfitri adalah masa untuk kegembiraan namun sekiranya gaya hidup tidak terjaga, ia mungkin akan mengganggu atau mensia-siakan usaha kawalan penyakit yang dilakukan sebelum ini.
“Makanan ketika musim perayaan sememangnya menggodakan namun makanlah dengan kuantiti sedikit agar makanan itu tidak merisikokan kita semula,” katanya dalam kenyataaan hari ini.
Tambah beliau, orang ramai diminta memastikan makanan yang diambil seimbang, sederhana dan pelbagai, seperti konsep suku-suku separuh agar makanan yang dipilih itu seimbang mengikut kuantiti sewajarnya.
“Kita tidak menafikan mengenai kepentingan menjalin hubungan sesama keluarga dan rakan pada musim perayaan tetapi soal kesihatan juga tidak boleh dipandang enteng bagi menjamin kegembiraan untuk masa yang berpanjangan,” katanya. – MalaysiaGazette