Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain.

KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan menentukan pengarah baharu Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman dalam masa terdekat lagi.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, ia akan dibincangkan pihaknya dengan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.

“Kita akan bincang dengan menteri mengenai calon untuk mengisi jawatan pengarah (JSPT Bukit Aman). Ia (perbincangan) termasuklah calon Ketua Polis Pulau Pinang yang akan dibincangkan (bersama MDN) nanti,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Serah Terima Tugas Jawatan Pengarah JSPT Bukit Aman dan Pengerusi Persatuan Keluarga Polis JSPT Bukit Aman di Pusat Latihan Polis (Pulapol) di ibu negara semalam.

Razarudin mengulas mengenai pertanyaan wartawan mengenai pengarah baharu mengisi kekosongan yang ditinggalkan oleh penyandangnya Datuk Mohd Azman yang bersara wajib selepas 38 tahun berkhidmat dalam PDRM.

Timbalan Pengarah JSPT I Bukit Aman, Datuk Mohd Nasri Omar dilantik menjadi pemangku Pengarah JSPT, Bukit Aman dalam istiadat itu semalam.

Ditanya mengenai tempoh masa yang dijangka untuk pengumuman itu, Razarudin berkata,  ia diharap dalam masa terdekat.

“Dalam masa terdekat (pengarah baharu JSPT).. insya-Allah,” kata beliau secara rigkas tanpa mengulas lebih lanjut dalam perkara itu.- MalaysiaGazette