TEMERLOH – Rakyat di negeri ini agar tidak pernah melupakan sejarah kegemilangan umat Islam yang pernah menguasai dan mentadbir lebih separuh dunia ini dengan penuh keadilan.
Mufti Pahang, Prof. Datuk Dr. Asmadi Mohamed Naim berkata, kegemilangan umat pada suatu ketika dahulu merupakan hasil daripada perpaduan umat Islam ketika membacakan khutbah solat sunat Aidiftri, hari ini.
“Namun demikian, sejarah membuktikan betapa dengan asbab perpecahan, maka tamadun umat Islam akhirnya tumbang.
“Inilah yang disaksikan di saat kejatuhan Baghdad kepada tentera Moghul, Baitulmaqdis kepada tentera salib, begitu juga kejatuhan Andalusia ke kuasa barat,” katanya.
Akhirnya, jati diri umat Islam lemah, dan seinci demi seinci tanah umat Islam jatuh ke tangan pihak musuh dan penyokong mereka.
Termasuklah pada masa sekarang, isu Palestin yang tidak pernah dilupakan selain mengharapkan umat Islam terus bersatu hati dalam menangani isu terhadap umat Islam.
Beliau mengingatkan agar umat aislam menghidupkan amalan pada hari raya dengan menziarahi kaum keluarga selain memohon keampunan dosa lalu dan menghayati firman Allah dalam Surah al-Anfal ayat 46.
“Antara amalan sunnah yang digalakkan pada hari raya, ialah menghadirkan perasaan gembira sesama Muslim, khasnya dengan keluarga terdekat.
“Maka sepanjang hari lebaran ini, marilah kita bersama-sama menziarahi sanak-saudara di kampung halaman. Pohonlah keampunan andai ada sebarang keterlanjuran, lupakanlah kesilapan silam dan perasaan dendam,” katanya.
Sesungguhnya, katanya, Islam merupakan agama yang sempurna, tetapi untuk menjadikan masyarakat Islam itu lebih sempurna, memerlukan kita hidup secara bersatu padu, jauh daripada perpecahan dan persengketaan.
Dr. Asmadi membacakan khutbah di hadapan 5,000 jemaah di Masji Sultan Haji Ahmad Shah Al-Mustain Billah di Temerloh.
Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berkenan bercemar duli menunaikan Solat Sunat Aidilfitri hari ini. – MalaysiaGazette