Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul beramah mesra bersama tetamu yang hadir pada Rumah Terbuka anjuran beliau di Bukit Tunku, Kuala Lumpur. Foto WAN NABIL NASIR, 11 APRIL 2024.

KUALA LUMPUR – Yang Di-Pertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul mengulangi gesaannya agar orang ramai khususnya penduduk kampung untuk menanam ubi kayu bagi menambah pendapatan.

Johari berkata, ini kerana masih banyak tanah yang terbiar dan ia perlu dimanfaatkan orang kampung dengan penanaman ubi kayu yang berpotensi untuk diimport ke luar negara.

“Ada beberapa negara sudah pun mengeksport ubi kayu ke China, mereka buat banyak duit.

“Tanah kita banyak terbiar, dan untuk menjana ubi kayu hanya memerlukan penjagaan, air dan baja yang amat minimum.

“Jadi kawasan-kawasan yang kita tak boleh tanam dengan padi, kita tanamlah dengan ubi kayu,” katanya pada sidang media hari ini.

Terdahulu beliau menganjurkan Rumah Terbuka Aidilfitri di kediaman rasminya di Bukit Tunku, hari ini.

Sebelum ini, Speaker Dewan Rakyat itu mencadangkan rakyat menggantikan nasi dengan sumber karbohidrat lain seperti ubi kayu, sementara menunggu isu bekalan beras putih tempatan (BPT) selesai.

Beliau berkata, ubi kayu dilihat mampu menjadi alternatif terbaik sebagai sumber karbohidrat disebabkan khasiatnya yang lebih tinggi berbanding beras.

Dalam pada itu, Johari secara berseloroh berkata, selepas cadangan beliau itu menjadi tular di media sosial, harga ubi kayu meningkat di pasaran.

“Harganya sejak viral saya minta maaf harganya telah naik, dulu saya ingat dalam RM4 dan saya difahamkan sudah naik jadi RM6.

“Saya tolong promote ubi kayu, harga naik, saya harap orang kampung yang ada tanah, jika tanam ubi kayu kerana ia memberikan pendapatan tambahan kepada kita,” katanya.

Selain itu, Johari sendiri menjadikan ubi kayu sebagai juadah istimewa dalam majlis Rumah Terbuka Aidilfitri pada tahun ini.

“Itu memang permintaan khas saya daripada chef.

“Saya kata yang lain mungkin orang biasa makan, tapi saya nak perkenalkan ubi kayu,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast