Tangkap layar dari video yang tular

ALOR GAJAH – Seorang remaja lelaki 18 tahun maut selepas motosikal ditunggangi merempuh sebuah pacuan empat roda polis yang melakukan rondaan mencegah lumba haram di Jalan Gangsa-Kesang Durian Tunggal awal pagi 1 Syawal semalam.

Dalam kejadian 2.56 pagi raya pertama itu itu, mangsa, Mohammad Khairul Basahri, 18, tercampak setinggi beberapa meter sebelum terjatuh berdasarkan beberapa rakaman klip video yang tular sejak semalam.

Berdasarkan rakaman, insiden itu mencetuskan kemarahan orang ramai terhadap anggota polis berkenaan kerana didakwa sengaja merempuh mangsa yang ketika itu berada di jalan utama.

Ketua Polis Melaka, Datuk Zainol Samah berkata, mangsa disahkan meninggal dunia pukul 12.37 pagi tadi ketika menerima rawatan di Wad Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Melaka akibat kecederaan dalaman yang serius selain patah kaki dan paha.

“Siasatan mendapati kejadian berlaku ketika kenderaan polis dipandu seorang anggota lelaki berusia 37 tahun sedang dalam tugas rondaan cegah lumba haram.

“Rondaan dibuat susulan anggota dari Balai Polis Durian Tunggal itu menerima aduan awam berkaitan ramai individu berkumpul mengadakan aktiviti lumba motosikal dan membuat bising di lampu isyarat Gangsa,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambahnya, sebaik sampai di lokasi, kenderaan itu menyalakan lampu mata arah dan siren untuk memberitahu kehadiran polis menyebabkan sekumpulan penunggang motosikal  melarikan diri dari pelbagai arah.

“Semasa hendak membelok ke kanan dari Durian Tunggal ke Gangsa, tiba-tiba datang motosikal jenis Yamaha 135 LC ditunggang mangsa dari arah bertentangan merempuh hadapan 4×4 terbabit.

“Ia mengakibatkan mangsa mengalami kecederaan parah di kaki serta badan sebelum dikejarkan di Zon Merah Hospital Melaka untuk rawatan lanjut,” ujarnya.

Sejak semalam tular video bertajuk ‘Polis langgar budak motor’ berdurasi 40 saat yang memaparkan beberapa individu memarahi seorang lelaki dipercayai pemandu peronda polis berkenaan kerana didakwa sengaja melanggar mangsa.

Mengulas lanjut, Zainol berkata, pihaknya akan memastikan siasatan dijalankan secara telus dan profesional.

“Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kejadian ini diharap dapat membantu menyalurkan maklumat,” katanya.

Mereka boleh menghubungi Ketua Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Alor Gajah di talian 06-5563222 untuk membantu siasatan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 kerana memandu secara melulu sehingga menyebabkan kematian.

Sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara antara lima hingga 10 tahun dan denda tak kurang RM20,000 dan tidak lebih RM50,000. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast