Sambil sebak menitiskan air mata, ketiga-tiga beranak itu membuat isyarat di kaca penghalang menandakan ingatan dan tanda sebelum mengundurkan diri.

KUANTAN – Tidak dapat berpelukan dan bersalaman dengah ayah yang dikasihi pada hari raya kerana terhalang oleh tirai besi bukan bermakna kasih sayang seorang anak berkurangan.

Syarina Abdullah (bukan nama sebenar), 18, membuat isyarat tersendiri menzahirkan antara kasih sayang antara anak beranak menarik perhatian ketika tinjauan MalaysiaGazette di Penjara Penor hari ini.

Pada hari kedua Perjumpaan Khas Sempena Hari Raya Aidilfitri 2024, Syarina bersama kakaknya Syuhada , 20, memanfaatkan sesi lawatan tersebut bertemu ayahnya.

Sambil sebak menitiskan air mata, ketiga-tiga beranak itu membuat isyarat di kaca penghalang menandakan ingatan dan tanda sebelum mengundurkan diri.

“Ayah kena tahan dan hukuman kena awal tahun ini, jadi kali kelima dapat ziarah ayah. Tak sanggup beraya tanpa ayah, lagi pun ibu dan adik jauh di Kedah.

“Semua orang pernah buat silap tapi dia tetap ayah kita, tiada tolok ganti,” katanya sambil menangis.

Syuhada turut ditemani suami dan anaknya ketika menziarahi ayah kandungnya itu.

Anak sulung dari tiga beradik itu beratur dan menunggu hampir dua jam agar dapat bertemu bapanya.

Beliau turut membelikan hamper sempena Hari Raya Aidilfitri buat bekalan kepada bapanya yang menjalani hukuman penjara selama setahun akibat kesalahan narkotik.

Ujarnya, sokongan daripada ahli keluarga termasuk suami penting kepada ayah mereka agar memberikan peluang kedua apabila orang tuanya itu dibebaskan kelak.

Kedua-dua beradik perempuan dan mendoakan bapa mereka tidak pernah putus selain mengharapkan kedua ibu bapa mereka sihat walafiat.

Seramai 303 keluarga penghuni Pejara Penor, di sini menghadiri Perjumpaan Khas sempena Hari Raya Aidilfitri 2024 pada hari raya ketiga dan keempat yang diadakan oleh Jabatan Penjara Malaysia. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

303 keluarga ziarah penghuni Penjara Penor sempena Aidilfitri