GEORGE TOWN – Seorang usahawan mini market mendakwa menanggung kerugian puluhan ribuan ringgit akibat dipaksa mengosongkan premis oleh pemiliknya atas alasan tak munasabah.
Nasrine Farhana Majumder, 34, yang menjalankan perniagaan di Taman Semarak, Nilai, Negeri Sembilan mendakwa dia menyewa premis milik seorang wanita tempatan pada kadar RM6,000 sebulan bagi tempoh dua tahun bermula Ogos 2023.
Katanya, dia membayar wang pendahuluan termasuk kos pemasangan elektrik dan air hampir RM20,000 ketika itu bagi menjalankan perniagaan mini market secara sah selepas mendapat lesen daripada Majlis Bandaraya Seremban.
“Bagaimanapun, dalam tempoh beberapa bulan lalu wanita berkenaan datang membaiki bumbung premis sebelum mendakwa saya menyewakan premis tersebut kepada warga asing.
“Meskipun saya sudah memberi penjelasan berhubung salah faham tersebut, dia (pemilik) tetap memaksa saya mengosongkan premis sedangkan surat perjanjian premis itu disewakan untuk tempoh dua tahun.
“Wanita itu membuat laporan polis untuk memaksa saya kosongkan premis malah ada juga situasi perniagaan saya diganggu beberapa lelaki tidak dikenali dengan membaling cat merah,” katanya hari ini.
Tambah Nasrine Farhana, tindakan pemilik premis itu seolah-olah memaksanya keluar tanpa mahu mengembalikan wang deposit.
“Bimbang sesuatu buruk berlaku saya meminta bantuan khidmat guaman daripada Pertubuhan Kebajikan Masyrakat Malaysia (PKMM),” katanya.
Sementara itu, Presiden PKMM, L. Francis berkata, pihaknya bimbang pemilik premis sengaja mencetuskan ketegangan untuk mengaut keutungan dengan menghapuskan wang deposit.
“Pihak kami difahamkan wanita berkenaan menjalani perniagaan mengikut peraturan yang betul termasuk mempunyai lesen perniagaan daripada majlis bandaraya.
“Malah dia masih membayar sewa bulanan termasuk bil elektrik dan air meskipun sudah lima bulan dibelenggu masalah ini.
“Kita tidak tahu apa motif pemilik premis itu namun mengikut lunas undang-undang dia perlu melalui perintah mahkamah untuk mengarahkan penyewa kosongkan premis bukan memaksa sendiri kerana impak kerugian yang ditanggung penyewa itu tinggi,” katanya. – MalaysiaGazette