NILAI – Filem pendek Raya Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) 2024 berjudul “Pesan Ibu” yang menampilkan aktres terkemuka Fauziah Ahmad Daud atau Ogy, yang menggalas watak “Mak” dalam filem pendek tersebut berjaya meraih 100,0000 tontonan di saluran Youtube USIMTV sejak ia disiarkan pada 1 April 2024 yang lalu.

Filem pendek arahan Profesor Madya Dr. Faizal Kasmani, Pengarah Pusat Komunikasi Strategik USIM ini mengisahkan tentang Aiman, seorang pelajar sekolah agama yang bercita-cita untuk memasuki universiti dalam bidang kedoktoran.

Pada masa sama, Aiman perlu menggalas tugas menjaga ibunya, seorang penoreh getah dan adiknya, setelah kematian bapanya.

Kru dan tenaga kerja filem pendek ‘Pesan Mak’.

Muhammad Fikri Hairulazmy, Pelajar Fakulti Sains Teknologi USIM memegang watak utama sebagai “Aiman”.

Naib Canselor USIM, Profesor Dato’ Ts. Dr. Sharifudin Md Shaarani berkata, beliau teruja dengan pemilihan Fauziah Ahmad Daud sebagai pelakon utama Filem Pendek Raya USIM pada tahun ini.

“Pemilihan watak Kak Ogy sebagai ‘Mak’ adalah tepat kerana kredibiliti beliau sebagai pelakon lagenda yang membawa apa jua watak dapat memberi kesan mendalam kepada penonton.

“Gandingan Muhammad Fikri Hairulazmy yang membawa watak ‘Aiman’ juga membuktikan pelajar USIM mempunyai bakat terpendam yang boleh diketengahkan,” katanya.

Produksi filem pendek “Pesan Ibu” dihasilkan sepenuhnya oleh Pusat Komunikasi Strategik USIM bersama alumni USIM dan bantuan nasihat kepakaran daripada pengarah Profesor Dr. Mahadi J. Murat selaku Penasihat Produksi.

Dr. Sharifudin berkata, kejayaan produksi filem pendek yang digalas sepenuhnya oleh Pusat Komunikasi Strategik bersama kepakaran pensyarah dan pelajar program Komunikasi Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan dan Fakulti Sains dan Teknologi membuktikan kecairan bakat yang dimanfaatkan sepenuhnya.

Talent Fluidity yang dimaksudkan untuk semua warga USIM merangkumi pelbagai aspek ini boleh dilihat dalam penghasilan filem pendek ‘Pesan Ibu’. Saudara Fikri sendiri adalah seorang pelajar tahun 3 Fakulti Sains Teknologi dari program Keselamatan dan Jaminan Maklumat namun mampu menjiwai watak ‘Aiman’ dengan baik sekali,” tambahnya lagi.

Filem pendek ini turut mendapat tajaan daripada Pusat Pengajian Al Baghdadi serta kerjasama daripada Has Production dan Canon.

Filem pendek berjudul “Pesan Ibu” boleh ditonton di pautan https://shorturl.at/mwEHT YouTube dan lain-lain platform media sosial rasmi USIM. – MalaysiaGazette