Anak bekas Timbalan Perdana Menteri, Tun Abdul Ghafar Baba, Datuk Mohd Tamrin (kanan) hadir untuk dirakam keterangan berhubung catatan blog bertajuk “10 Tahun lagi DAP akan jadi Tuan” di hadapan Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Kuala Lumpur. Foto WAN NABIL NASIR, 16 APRIL 2024.

KUALA LUMPUR – Apa salahnya saya buat ramalan?

Itu justifikasi Datuk Tamrin Ghafar selepas dipanggil hadir ke Bukit Aman di sini pagi tadi untuk dirakam percakapannya.

Bekas Ahli Parlimen Batu Berendam dan anak bekas Timbalan Perdana Menteri, Tun Ghaffar Baba itu dipanggil untuk tampil ke Bukit Aman bagi membantu siasatan polis berhubung artikelnya bertajuk ’10 Tahun Lagi DAP akan menjadi Tuan Negara’ di dalam blog peribadinya pada 4 April lalu.

“Ada beberapa isu dikenal pasti di sini iaitu pertamanya masalah ramalan saya. Pada saya, ramalan itu bukan satu kesalahan serius kerana ia sekadar ramalan.

“Kalau nak ikutkan banyak ramalan di negara ini, contohnya ramalan kaji cuaca, empat ekor dan apatah (Datuk Seri) Anwar (Ibrahim) sendiri meramalkan ramai lagi ahli MP (ahli Parlimen)  Pejuang akan masuk parti dia sokong dia.

“Ini bermakna ramalan sebenarnya tidak timbul dalam undang-undang kita,” katanya yang ditemani peguamnya, Muhammad Rafique Rashid Ali di hadapan Bukit Aman hari ini.

Malah menurut Tamrin, dia menulis kali kelima dengan mencabar Perdana Menteri untuk menafikan sekeras-kerasnya bahawa beliau tidak pernah meliwat dan mengambil tindakan terhadap surat khabar Itali yang menyiarkan di muka hadapan Malaysia merupakan negara pertama yang mendapat seorang peliwat sebagai Perdana Menteri.

Beliau membangkitkannya lagi kerana ia merupakan imej dan maruah diri dan semua umat Islam dalam negara ini.

“Anwar sepatutnya menjelaskan dan membersihkan perkara ini tetapi sejak dua tahun ini dia senyap sahaja dan kenapa dia berdolak-dalik serta tidak mahu berterus terang.

‘Kes lain membabitkan cerita sakau Tun Daim (Zainuddin), Tun Mahathir (Mohamad) semua dia ketengahkan tetapi kes dia sendiri tak diketengahkan dan begitu juga dengan kes (Datuk Seri) Ahmad Zahid Hamidi hadapi 47 kes, dilepaskan begitu sahaja.

“Mana boleh, jadi rakyat ingin tahu apa falsafah dia (PMX), pada pilihan raya akan datang terutama di Kuala Kubu Baharu (KKB), tak tahulah sama ada Anwar akan berkempen atau tidak, atau Zahid Hamidi masa apa pun berkempen akan dipersoalkan,” ujanya.

Menurutnya lagi, Anwar hanya pandai berjanji sedangkan janji lama tidak dilaksanakan selain turut bertanggungjawab untuk menjawab kes salah laku, pecah amanah Ahmad Zahid dan sebagainya kepada pengundi di KKB nanti.

Sementara itu, peguamnya, Muhammad Rafique berkata, Tamrin dipanggil untuk disiasat di bawah Kanun Keseksaan yang dikatakan fitnah jenayah dan tulisan-tulisan yang dikatakan membawa perasaan tak puas hati dalam kalangan beberapa pihak dan sememangnya Seksyen 233(1) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Muhammad Rafiq berkata, mengkritik adalah hak seseorang rakyat yang termaktub dalam Perlembagaan dan dibenarkan menerusi Perkara 10 yang menyebut seseorang boleh membuat kenyataan selagi mana ia tidak melanggar mana-mana undang-undang yang ada.

“Lagi pun ia adalah separuh daripada asas perlembagaan.Maka saya marayu polis dan MCMC agar jangan terlalu sibuk bermain politik atau mengikut arahan mereka yang berkuasa.

“Ini kerana akhirnya apabila rakyat mula bersuara dan rakyat telah buktikan sebenarnya pada PRU-14 lalu menumbangkan parti gergasi BN dan adalah tidak mustahil dengan suara rakyat kerajaan ini juga boleh ditumbangkan nanti,” ujarnya.-MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast