sedekah fadhli shaari
Ahmad Fadhli Shaari

KOTA BHARU – UMNO berpeluang menang terutama di tujuh kerusi yang dimiliki bersatu sekiranya pilihan raya kecil (PRK) berlangsung dalam masa terdekat.

Ketua Penerangan Pas, Ahmad Fadhli Shaari berkata, UMNO tidak mempunyai masalah untuk merampas tujuh kerusi wakil rakyat Bersatu yang mengisytiharkan sokongan kepada parti lawan.

Menurut beliau, enam kerusi Parlimen dan satu Dewan Undangan Negeri (DUN) disandang tujuh wakil rakyat Bersatu itu dalam gengaman UMNO akan mendapat sokongan pengundi Pakatan Harapan (PH).

“KJ (Khairy Jamaluddin) kata jika berlaku PRK di tujuh kerusi lompat itu, PPBM boleh menang semuanya jika diadakan pada tahun ini.

“Saya sedikit berbeza pandangan, saya berpendapat UMNO berpeluang untuk menang terutama di kerusi-kerusi Parlimen yang kalah tipis.

“Kali ini jika berlaku PRK, mereka akan dapat bantuan undi penyokong PH. Ini masanya untuk mereka bangkit semula,” kata beliau dalam perkongsian di media sosial.

Menurut Ahmad Fadhli, untuk merampas kerusi berkenaan UMNO hanya perlu memastikan bahawa PRK berlangsung di semua kawasan tersebut.

Tambah beliau, UMNO berhak meletakkan calon di enam kerusi Parlimen kerana parti itu memperoleh undi kedua terbanyak pada pilihan raya lalu.

“Jadi tugas UMNO sekarang dalam kerajaan ialah desak Speaker Dewan Rakyat isytiharkan kerusi-kerusi ini kosong supaya berlaku PRK. Desak dan tekan bersungguh-sungguh.

“Memandangkan enam kerusi Parlimen itu UMNO di tempat kedua, parti inilah paling layak meletakkan calon. Semoga pandangan ini diambil kira,” katanya.

Enam Ahli Parlimen daripada Bersatu mengisytiharkan sokongan kepada Perdana Menteri iaitu Ahli Datuk Dr Suhaili Abdul Rahman (Labuan); Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal (Bukit Gantang), Mohd Azizi Abu Naim (Gua Musang), Datuk Dr Zulkafperi Hanapi (Tanjong Karang), Zahari Kechik (Jeli), dan Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar).

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Selat Klang yang juga bekas Ketua Badan Pimpinan Bersatu Selangor, Datuk Abdul Rashid Asari pula mengisytiharkan sokongan kepada Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari.

Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Razali Idris, dipetik berkata mereka tidak perlu menunggu surat pemecatan sebaliknya keahlian mereka tergugur selepas Jabatan Pendaftaran Pertubuhan meluluskan usul pindaan Perlembagaan parti itu. – MalaysiaGazette