Ahmad Zahid dilepas tanpa dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 4 September lalu atas 47 pertuduhan pecah amanah, rasuah dan pengubahan wang haram. Foto MUHD NA’IM

KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi hari ini menetapkan 27 Jun depan bagi keputusan semakan kehakiman untuk menyemak kuasa dan keputusan Peguam Negara mengeluarkan perintah melepas tanpa membebaskan (DNAA) Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkait kes dana Yayasan Akalbudi oleh Majlis Peguam.

Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Amarjeet Singh Serjit Singh membuat ketetapan itu selepas mendengar hujah antara Majlis Peguam dan Peguam Kanan Persekutuan mewakili Jabatan Peguam Negara (AGC), Shamsul Bolhassan.

Terdahulu, bekas Pengerusi Majlis Peguam, Datuk Seri Ambiga Sreenevasan berkata, AGC dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) perlu bertanggungjawab selepas perintah DNAA dikeluarkan.

Ambiga berkata, tuntutan Majlis Peguam terhadap keputusan DNAA dalam bicara jenayah tidak bersifat akademik.

“Jika keputusan DNAA itu dibatalkan, pihak pendakwaan boleh teruskan perbicaraan. Tindakan ini adalah untuk memperbetulkan keadaan, lebih-lebih lagi begitu banyak kerja telah dilakukan bagi memastikan keadilan itu terlaksana.

“Hanya kerana adanya ‘jeritan’ dakwaan bersifat politik, semua usaha sebelum ini sia-sia,” ujarnya.

Dalam pada itu, Shamsul Bolhassan yang mewakili AGC pula berhujah, Majlis Peguam gagal membuktikan wujudnya sebarang salah laku dalam keputusan mengenakan DNAA terhadap Ahmad Zahid.

“AGC telah bertindak dengan menggunakan budi bicara bawah Perkara 145 (3) yang membolehkan pendakwaan memulakan, mengendalikan atau menghentikan sesuatu prosiding,” ujarnya.

Sebelum ini Hakim, Datuk Collin Lawrence Sequerah, melepas tanpa membebaskan Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah selepas membenarkan permohonan Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Mohd Dusuki Mokhtar, yang memaklumkan bahawa AGC ingin menghentikan semua prosiding terhadap Ahmad Zahid pada peringkat itu.

Peguam bela Ahmad Zahid, Datuk Hisyam Teh Poh Teik juga memohon supaya Timbalan Perdana menteri itu dibebaskan daripada semua tuduhan kerana ia tidak adil kepada anak guamnya berikutan tuduhan ke atasnya ‘tergantung’ tanpa ada kepastian.

Ahmad Zahid sebelum ini berdepan dengan 47 pertuduhan iaitu lapan rasuah, 12 pecah amanah dan 27 pengubahan wang haram dana Yayasan Akalbudi. – MalaysiaGazette