Jezlily Jamaluddin

KUANTAN – Sebanyak 5,260 premis telah diperiksa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Negeri Pahang sepanjang pelaksanaan Ops Pantau 2024.

Pengarahnya, Jezlily Jamaluddin berkata, operasi yang dilakukan 12 Mac hingga 9 April lalu telah memeriksa bekalan barangan, harga barangan, jualan murah, penggunaan alat timbang, penjualan barang tiruan dan kepatuhan halal.

Menurutnya, pemeriksaan dan pemantauan dilakukan bagi memastikan peniaga sentiasa mematuhi peraturan yang sedang berkuatkuasa terutama sepanjang Bulan Ramadan dan sambutan Hari Raya Aidilfitri.

“Sepanjang tempoh pelaksanaan Ops Pantau 2024, sebanyak 20 tindakan kes telah dihasilkan dengan jumlah nilai kompaun sebanyak RM7,000 telah dikeluarkan ke atas peniaga yang melibatkan tujuh kes di bawah kesalahan Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011.

“Manakala 12 kes di bawah Akta Timbang dan Sukat 1972 dan 1 kes di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 direkodkan,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Selain itu, Jezlily berkata,  sebanyak 23 aduan telah diterima dan disiasat oleh KPDN Pahang berkaitan isu harga, keberadaan bekalan barangan keperluan pengguna, jualan murah, perihal halal dan barang tiruan.

Sementara itu, KPDN Pahang juga telah meningkatkan pemantauan sepanjang musim perayaan di bawah Skim Kawalan Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) yang telah bermula pada 5 April dan akan berakhir pada 19 April 2024.

Sebanyak 354 pemeriksaan telah dijalankan di bawah SHMMP  dengan tujuh tindakan kes telah dihasilkan di atas kesalahan gagal meletakkan tanda harga merah jambu bagi barang harga terkawal.

Berdasarkan pemantauan yang berterusan ini, tiada isu atau aduan yang berkaitan dengan kekurangan atau terputus bekalan barangan keperluan pengguna dan kenaikkan harga barangan sepanjang cuti perayaan Hari Raya Aidilfitri lalu. – MalaysiaGazette