Nga Kor Ming

KUALA KUBU BHARU – Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) telah menyalurkan sejumlah RM5.21 juta kepada penduduk di daerah Hulu Selangor, kata menterinya, Nga Kor Ming.

Jelas Kor Ming, peruntukan itu diberi bertujuan untuk menambah baik infrastruktur awam di bawah seliaan Majlis Perbandaran Hulu Selangor (MPHS) dan Projek Kampung Baru Cina.

“Peruntukan tersebut meliputi 14 buah projek bernilai RM4.82 juta yang akan dilaksanakan oleh MPHS dan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK).

“Daripada jumlah tersebut, sebanyak RM4.16 juta disalurkan melalui MPHS manakala RM664,000 disalurkan kepada MPKK di Hulu Selangor,” katanya dalam sidang media selepas mengadakan lawatan kerja bersempena Program Sentuhan Kasih KPKT ke Kuala Kubu Bharu, hari ini.

Antara projek-projek yang akan dilaksanakan menerusi peruntukan tersebut adalah membaik pulih dan menaik taraf 10 unit gerai MPHS di Jalan Abdul Hamid dan membaik pulih dan menaik taraf Pasar Awam Rasa, Hulu Selangor.

Turut disalurkan RM10,000 kepada Bomba Sukarela Jalan Padang Tembak di Kuala Kubu Bharu bagi usaha meningkatkan kecekapan pasukan bomba sukarela.

Selain itu, Kuil Sri Sithi Vinayagar turut diberikan peruntukan berjumlah RM127,050 bagi kerja-kerja membaiki bangunan keagamaan sedia ada.

“Bukan itu sahaja, KPKT juga telah meluluskan RM250,000 kepada Persatuan Penganut Dewa Siaw Kong dan Dewi Lee Ma untuk membaiki keadaan bangunan rumah ibadat yang lama dan uzur.

“la merupakan sebahagian daripada RM50 juta bantuan kewangan yang disalurkan oleh Kerajaan Perpaduan kepada organisasi Rumah Ibadat Bukan Islam (RIBI) di seluruh negara tidak kira agama Hindu, Buddha, Kristian, Sikh dan Tao,” katanya. – MalaysiaGazette