KUALA LUMPUR – Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) mengesan tumpahan minyak ditemukan di aliran Sungai Durian, Serendah kira-kira jam 11 pagi semalam.

Exco Kesihatan Awam dan Alam Sekitar, Jamaliah Jamaluddin berkata, insiden itu berpotensi memberi impak kepada loji rawatan air (LRA) Rantau Panjang, 27.22 kilometer dari lokasi penemuan.

“LUAS telah mengaktifkan Kod Kuning mengikut Manual Kecemasan Pencemaran Sumber Air untuk tindakan siasatan menyeluruh serta pencegahan atau mitigasi segera,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, hasil siasatan awal mendapati, kesan minyak di aliran sungai tersebut berpunca daripada set generator serta penstoran minyak diesel.

“Ia tidak dikendalikan dengan baik sehingga berlaku tumpahan oleh sebuah tapak projek pembangunan berhampiran sekitar 170 meter dari sungai tersebut,” katanya.

Susulan kejadian itu, LUAS telah melaksanakan kerja pemulihan dan pembersihan segera serta kawalan tumpahan di premis daripada memasuki Sungai Durian.

“LUAS telah mengeluarkan Arahan Perintah Perlindungan Air di bawah Seksyen 122, Enakmen LUAS 1999.

“Dalam masa sama, LUAS telah menjalankan pensampelan di kawasan premis dan aliran Sungai Durian.

“Kemudian sampel dihantar ke Jabatan Kimia Malaysia (JKM) untuk analisa dan tindakan lanjut siasatan dan penguatkuasaan di bawah Seksyen 79 (1) Enakmen LUAS 1999,” katanya.

Verifikasi LUAS di kawasan premis dan di Sungai Durian mengesahkan bacaan0 ton dan tiada kesan minyak ditemui.
Verifikasi LUAS di kawasan premis dan di Sungai Durian mengesahkan bacaan
0 ton dan tiada kesan minyak ditemui.

Menurut Jamaliah, kerja-kerja pembersihan selesai pada jam 12.30 pagi hari ini.

“Verifikasi LUAS di kawasan premis dan di Sungai Durian mengesahkan bacaan 0 ton dan tiada kesan minyak ditemui.

“Operasi mitigasi ini ditamatkan pada jam 12.30 pagi setelah didapati keadaan Sungai Durian normal.

“Tiada lagi sebarang potensi/risiko pencemaran kepada LRA Rantau Panjang dan LRA utama negeri yang lain di hilir lokasi iaitu LRA SSP1, SSP2 dan SSP3,” katanya. – MalaysiaGazette