Datuk Seri Anwar Ibrahim

SHAH ALAM – Kerajaan akan memutuskan mengenai isu berhubung dakwaan Digital Nasional Bhd (DNB) bertindak tidak telus dalam menjalankan operasi dalaman, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Bagaimanapun beliau yang juga Menteri Kewangan tidak memaklumkan butiran lanjut berhubung perkara itu berkata, isu berkenaan akan dibincangkan dalam satu mesyuarat kelak.

“DNB akan diputuskan minggu depan…akan ada satu mesyuarat mengenainya,” katanya ringkas kepada pemberita selepas menghadiri Konvensyen 25 Tahun PKR di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC) hari ini.

Semalam, DNB dalam kenyataan dengan tegas menafikan dakwaan bertindak tidak telus dalam menjalankan operasi dalaman, serta menolak sebarang gambaran negatif terhadap amalan tadbir urus dan perolehannya.

Syarikat itu menekankan proses tender dan perolehan pihaknya adalah mengikut struktur piawaian tadbir urus dan amalan terbaik yang paling ketat.

DNB menyatakan demikian bagi menjelaskan beberapa dakwaan mengelirukan yang dibuat oleh Channel News Asia (CNA) dalam sebuah artikel bertajuk ‘Malaysia’s billion-dollar 5G roll-out stumbles as deal breaks down between powerful telcos, state-owned operator’, yang diterbitkan pada 19 April dan kemudiannya dilaporkan oleh beberapa media lain. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast